fb fb fb fb fb

Kebakaran hutan: Israel isytihar darurat

Api marak membakar hutan berhampiran bandar Bet Shemesh, tengah Israel / Foto AFP

BAITULMAQDIS, 30 Mei – Israel mengisytiharkan darurat kebangsaan selepas kebakaran hutan besar yang merebak pantas melanda kawasan berhampiran Baitulmaqdis pada Rabu menyebabkan beberapa kecederaan serta memaksa pemindahan penduduk dan penutupan lebuh raya utama.

Menurut agensi penyelamat Israel, Magen David Adom (MDA), 22 orang dilaporkan cedera, dengan 12 daripadanya dimasukkan ke hospital, kebanyakannya akibat tersedut asap tebal.

Susulan itu, tahap amaran dinaikkan ke paras tertinggi, dengan pasukan perubatan digerakkan ke kawasan terjejas.

MDA turut memaklumkan pasukan ambulans telah ditempatkan berhampiran komuniti berisiko terdedah terhadap kebakaran dan bersiap sedia memberikan rawatan serta bantuan pemindahan. Unit bermotosikal turut disediakan untuk membantu penduduk yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Keadaan cuaca panas dan angin kencang menyebabkan kebakaran merebak dengan pantas di kawasan hutan, memaksa pihak berkuasa memindahkan penduduk dari sekurang-kurangnya lima komuniti, menurut kenyataan polis.

Kebakaran turut memaksa penutupan laluan utama antara Tel Aviv dan Baitulmaqdis, manakala orang ramai diminta menjauhi kawasan terjejas.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz mengarahkan tentera dikerahkan membantu usaha memadam kebakaran.

“Kita sedang berdepan dengan darurat nasional, dan semua kekuatan yang ada mesti digerakkan untuk menyelamatkan nyawa serta mengawal kebakaran ini,” katanya dalam kenyataan.

Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben Gvir, yang menyelia jabatan bomba Israel, turut melawat kawasan terjejas. Beliau mengarahkan semua acara pada malam yang memerlukan kehadiran pasukan bomba dibatalkan bagi mengalihkan sumber kepada usaha pemadaman serta mengukuhkan pasukan di daerah Baitulmaqdis.

Berikutan itu, Menteri Acara Kebangsaan, Miri Regev, mengumumkan pembatalan acara utama sambutan Hari Kemerdekaan yang dijadual berlangsung malam Rabu di Baitulmaqdis.

Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu memaklumkan bahawa tiga pesawat bantuan dari Itali dan Croatia akan tiba dalam masa terdekat bagi membantu usaha pemadaman kebakaran.- AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD