fb fb fb fb fb

Jepun, Ukraine tandatangan 56 perjanjian pemulihan pascaperang

Perjanjian itu ditandatangani di Tokyo semasa Persidangan Jepun-Ukraine untuk Menggalakkan Pertumbuhan Ekonomi dan Pembinaan Semula/ Foto: Laman web gov.ua

ISTANBUL, 19 Februari- Jepun dan Ukraine menandatangani 56 perjanjian membabitkan pelbagai bidang termasuk pemulihan pascaperang pada Isnin.

Perjanjian itu ditandatangani di Tokyo semasa Persidangan Jepun-Ukraine untuk Menggalakkan Pertumbuhan Ekonomi dan Pembinaan Semula, lapor Agensi Anadolu.

Berucap pada persidangan itu, Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida berkata pertempuran masih berlaku di Ukraine dan keadaan di sana tidak mudah, menurut stesen penyiaran Jepun NHK.

Kira-kira 130 pegawai serta wakil perniagaan dari kedua-dua pihak menghadiri persidangan yang berlangsung selama sehari itu.

Kishida yang melawat Kiev tahun lepas menegaskan kepentingan menggalakkan semula ekonomi di Ukraine demi pelaburan masa depan.

“Jepun komited untuk membantu usaha sedemikian menerusi kerjasama sektor awam dan swasta,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri Ukraine, Denys Shmyhal berkata: “Persidangan itu akan menjadi langkah ke hadapan bagi Jepun dan Ukraine dalam membangunkan hubungan dua hala.

“Kedua-dua negara boleh menjadikan cabaran semasa sebagai peluang untuk pertumbuhan dan kemakmuran menerusi kerjasama,” katanya.

Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang lain termasuk pembinaan semula infrastruktur, pertanian, penambahbaikan situasi kemanusiaan, pembangunan bioteknologi, industri dan teknologi maklumat dan peningkatan tadbir urus.

Tokyo dan Kiev juga sedang berusaha menghapuskan cukai berganda. Selain itu, Tokyo bercadang membuka pejabat di Kiev bagi meningkatkan hubungan perniagaan antara kedua-dua negara. -BERNAMA-ANADOLU

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI