fb fb fb fb fb

Israel terima padah jika serang tapak nuklear - Iran

Imej dikeluarkan oleh media negara Iran menunjukkan detik dron dilancarkan oleh IRGC ke arah Israel pada 13 April lalu/AFP

TEHRAN, 18 April- Jeneral kanan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), Ahmad Haghtalab memberi amaran kepada Israel agar tidak sesekali cuba melakukan serangan yang menyasarkan tapak nuklear Iran.

Tegas beliau, Israel akan berdepan kemusnahan dahsyat di kemudahan nuklearnya sebagai tindak balas.

“Jika rejim Zionis (Israel) cuba mengambil tindakan terhadap pusat dan kemudahan nuklear kami, mereka 'sepastinya' akan menghadapi reaksi kami.

"Untuk serangan balas, kemudahan nuklear rejim (Israel) akan disasarkan dengan senjata canggih kami," lapor agensi berita rasmi IRNA memetik Haghtalab sebagai berkata.

Menurut Haghtalab, Iran telah mengenal pasti pusat nuklear Israel dan mempunyai semua maklumat yang diperlukan untuk bertindak balas.

Israel diketahui mempunyai senjata nuklear tetapi tidak pernah mengakuinya.

Terdahulu, Iran memberi amaran keras bahawa tenteranya akan menggunakan senjata yang 'tidak pernah digunakan sebelum ini' ke atas Israel sekiranya negara haram itu menyerang Tehran.

"Jika Israel bertindak balas, tindak balas kami seterusnya adalah dengan segera, lebih kuat dan lebih meluas menerusi 'senjata rahsia kami'," kata Menteri Luar Iran, Hossein Amir-Abdollahian ketika bercakap dengan Setiausaha Luar United Kingdom (UK), David Cameron tempoh hari.

Sabtu lalu, Iran melancarkan lebih 300 dron dan peluru berpandu ke Israel sebagai tindak balas terhadap serangan biadab Zionis atas bangunan konsulat Iran di Damsyik pada 1 April lalu. -AFP

ARTIKEL BERKAITAN
Letupan kuat kedengaran di Israel selepas Iran lancarkan serangan dron
Iran lancar serangan dron ke Israel
Israel minta Majlis Keselamatan PBB adakan mesyuarat tergempar berikutan serangan Iran
Konflik Israel-Iran: 'Netanyahu orang pertama harus dipersalahkan' - Erdogan
Konflik Asia Barat: Malaysia ambil langkah proaktif, jamin kesejahteraan rakyat - PM

Serangan terhadap konsulat di Damsyik, Iran ikrar tuntut bela

SITI AISHAH MD ISA