fb fb fb fb fb

Konflik Asia Barat: Malaysia ambil langkah proaktif, jamin kesejahteraan rakyat - PM

FOTO FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 16 April- Konflik Asia Barat hanya memberi kesan kecil terhadap ekonomi Malaysia, jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Keyakinan itu dinyatakan beliau selepas indeks petunjuk pasaran di Bursa Malaysia hanya menurun sedikit yang mencerminkan trend serantau.

Tambahnya, perkembangan semasa itu akan terus dipantau Kerajaan MADANI dengan teliti serta mengambil langkah proaktif untuk memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat kekal terjamin.

Dalam pada itu, sesi Mesyuarat Khas Sidang Majlis Keselamatan Negara selama dua hari berturut-turut bagi membincangkan situasi di Asia Barat telah mendesak rejim zionis Israel agar tidak melakukan tindakan balas yang boleh memburukkan lagi ketegangan.

"Bersama negara-negara bertamadun yang lain, Malaysia menggesa rejim Zionis Israel untuk tidak mengambil apa-apa lagi tindakan balas yang akan memburukkan lagi keadaan tegang di Asia Barat

"Terdapat tanda yang jelas bahawa masyarakat antarabangsa tidak mahu melihat keadaan yang lebih buruk lagi," katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Kerajaan Iran telah memberi jaminan bahawa tindakan ke atas Israel dihentikan dan hanya akan bertindak semula sekiranya Israel kembali melakukan serangan biadab.

"Pelancaran dron-dron oleh Iran merupakan tindakan yang sah berikutan serangan biadab oleh rejim zionis Israel terhadap Kedutaan Iran di Damsyik.

"Kita berpuas hati dengan jaminan yang diberi oleh kerajaan Iran bahawa ia tidak akan mengambil apa-apa lagi tindakan, kecuali diserang oleh rejim zionis Israel," tambahnya.

Malaysia turut menggesa gencatan senjata berkekalan mesti diwujudkan di Gaza untuk membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan.

Selain itu, menyeru masyarakat antarabangsa memberi tumpuan kepada isu tersebut sebagai kunci penyelesaian serta-merta yang adil terhadap perbuatan tidak berperikemanusiaan Israel di Gaza.

Malaysia juga akan menghantar sumbangan terbaharu sebanyak 100 kontena ke Gaza yang dijadual berlepas pada 27 April ini.

SITI AISHAH MD ISA