fb fb fb fb fb

Iran lancar serangan dron ke Israel

Iran lancar serangan dron ke arah Israel/AFP

JERUSALEM, 14 April- Iran melancarkan serangan dron dan peluru berpandu ke arah Israel pada hari Sabtu.

Iran telah berulang kali mengancam untuk menyerang Israel sebagai tindak balas terhadap serangan udara rejim zionis terhadap bangunan konsulatnya di Damsyik pada 1 April lalu yang telah membunuh tujuh Pengawal Revolusi, dua daripadanya berpangkat jeneral.

Perkara tersebut disahkan oleh Pengawal Revolusi Iran menerusi satu kenyataan.

Pengawal Revolusi Iran berkata peluru berpandu balistiknya ditembak hampir sejam selepas serangan dron dilancarkan.

Beberapa minit selepas serangan dilancarkan, pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei memuat naik status di laman X bahawa Israel perlu dihukum.

Dalam pada itu, Israel mendakwa Iran telah melancarkan lebih 100 dron dan peluru berpandu.

Jurucakap tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari menerusi kenyataan yang disiarkan di televisyen berkata tentera udara dan laut telah diarahkan bersiap sedia. Pihaknya akan terus memantau keadaan.

Sementara itu, di Yaman, kumpulan Huthi melancarkan beberapa pesawat tanpa pemandu ke Israel.

Firma keselamatan Ambrey memaklumkan, projektil itu disasarkan tiba di Israel serentak dengan dron dari Iran. Pelabuhan Israel dilihat sebagai sasaran strategik.

Turut melancarkan serangan, pejuang Hezbollah di Lubnan. Beberapa roket telah dilepaskan ke arah tanah tinggi Golan yang dikuasai Israel.-AFP

ROSLINA BINTI DIN