fb fb fb fb fb

Serangan terhadap konsulat di Damsyik, Iran ikrar tuntut bela

Sebuah ambulans diletakkan di luar kedutaan Iran selepas serangan Israel yang disyaki pada hari Isnin ke atas konsulat Iran, bersebelahan dengan bangunan utama kedutaan Iran, di Damsyik, Syria / Foto Reuters

DUBAI, 4 April- Iran berikrar untuk menuntut bela terhadap Israel susulan serangan udara rejim berkenaan terhadap bangunan konsulat Iran di Damsyik pada Isnin.

Serangan udara itu menyebabkan dua orang Jeneral dan lima orang penasihat ketenteraan Iran maut sekali gus meningkatkan lagi ketegangan di rantau Asia Barat.

Serangan berkenaan merupakan serangan paling buruk yang dilancarkan Israel terhadap kepentingan Iran di Syria.

Dalam pada itu, tentera Israel tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubungan serangan berkenaan yang menghancurkan sebahagian Kompleks kedutaan di Jalan Mezzeh, Damsyik, Syria.

Sementara itu, pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei bersumpah akan menuntut bela terhadap Israel.

"Rejim Zionis akan dihukum menerusi tangan-tangan pemuda berani dari Iran.

"Kita akan pastikan Israel menerima akibat dan rasa bertanggungjawab terhadap jenayah yang dilakukan", kata Khamenei.

Penasihat politik kepada Khamenei, Ali Shamkani menerusi aplikasi X di media sosial menuduh Amerika Syarikat (AS) bertanggungjawab mendalangi serangan udara berkenaan secara langsung atau tidak langsung.

Mengikut Axios yang memetik laporan rasmi AS, Washington memberitahu Tehran bahawa negara itu tidak terlibat dalam serangan selain mengetahui rancangan serangan udara Israel.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mengutuk serangan udara berkenaan sambil menggesa agar pihak terlibat menghentikan konflik daripada berterusan yang boleh mengancam kedamaian Asia Barat.

Media rasmi Iran (IRNA) melaporkan jumlah kematian akibat serangan udara itu meningkat kepada 13 orang termasuk enam rakyat Syria.

Pasukan Pertahanan Awam Syria kini sedang bertungkus -lumus membersihkan serpihan runtuhan dengan ditemani oleh Ambulan yang diparkir berhampiran lokasi kejadian.

Iran turut percaya serangan udara berkenaan menyasarkan salah seorang bekas Jeneral Iran yang telah pun maut iaitu Mohammad Reza Zahedi.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD