fb fb fb fb fb

Tuduhan rasuah: Speaker Parlimen Afrika Selatan letak jawatan

Speaker Parlimen Afrika Selatan, Nosiviwe Mapisa-Nqakula letak jawatan selepas didakwa terima rasuah / Foto Reuters

JOHANNESBURG, 4 April-Speaker Parlimen Afrika Selatan, Nosiviwe Mapisa-Nqakula berkata dia telah meletakkan jawatannya pada Rabu susulan tuduhan terlibat dalam rasuah ketika menjadi Menteri Pertahanan.

Pada Februari lepas, kediaman Mapisa-Naqula telah diserbu oleh para pegawai penyiasat sebagai sebahagian daripada proses pertuduhan rasuah.

Namun, tiada butiran diberikan berhubung penyiasatan atau pertuduhan berkenaan.

Mapisa-Naqula telah mengambil cuti khas selepas serbuan tersebut sebelum kalah pada kes mahkamah bagi menghalang pihak kerajaan daripada menahannya pada Rabu.

"Peletakan jawatan saya bukanlah bermaksud pengakuan bersalah terhadap dakwaan yang dilemparkan terhadap saya", katanya dalam satu kenyataan.

Peletakan jawatan tersebut secara mengejut turut menyaksikan Mapisa-Naqula turut melepaskan jawatannya sebagai anggota Parlimen serta-merta.

Sebelum ini, Mapisa-Naqula merupakan Menteri Pertahanan Afrika selatan dari tahun 2012 sehingga 2021.


Media penyiaran milik kerajaan iaitu SABC melaporkan Mapisa-Naqula didakwa menerima jutaan wang tunai sebagai sogokan daripada bekas kontraktor ketenteraan.

Mapisa-Naqula ketika ini belum dikenakan sebarang tuduhan jenayah dan tiada sebarang pengumuman rasmi berkaitan kemungkinan penahan dirinya oleh pihak polis.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD