fb fb fb fb fb

Israel semakin 'besar kepala' ingkar perintah mahkamah tertinggi serang Rafah

Seorang wanita Palestin memeluk jenazah anaknya yang dibunuh dalam pengeboman Israel ke atas sebuah klinik dekat kawasan Tel al-Sultan di Rafah, hari ini/AFP

RAFAH, 26 Mei- Pesawat tempur dan artileri Israel terus menggempur Rafah sekali gus mengingkar perintah mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang mengarahkan negara haram itu supaya menghentikan serangan ke atas bandar di selatan Gaza tersebut.

Saksi dan pasukan AFP melaporkan serangan serta tembakan masih berlaku di Rafah, bandar tengah Deir al-Balah, dan Gaza City serta kem pelarian Jabalia di utara.

Lebih menyayat hati, sebuah sekolah di Jabalia yang menjadi tempat perlindungan penduduk dibom oleh zionis.

Terdahulu, mahkamah tertinggi PBB memutuskan tiga perkara berhubung peperangan di Palestin termasuk mengarahkan Israel menghentikan operasi ketenteraan di Rafah.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengarahkan Israel mesti segera menghentikan serangan ketenteraannya dan sebarang tindakan lain di Rafah yang boleh membawa kemusnahan secara keseluruhan atau sebahagiannya kepada rakyat Palestin.

Bagaimanapun, Israel sehingga kini tidak memberi sebarang petunjuk untuk mengubah haluan di Rafah, sebaliknya menuduh mahkamah membuat kesilapan melalui keputusan berkenaan.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Gaza menerusi data terkini memaklumkan, sekurang-kurangnya 35,984 orang telah terbunuh di wilayah itu selama lebih tujuh bulan perang antara Israel dan Palestin.

Lebih 81 kematian dalam tempoh 24 jam lalu, menurut kenyataan kementerian, sambil menambah 80,643 orang telah cedera di Gaza sejak 7 Oktober tahun lepas. -AFP

ARTIKEL BERKAITAN
ICJ arah Israel hentikan serangan di Rafah
Biden beri amaran henti bekal senjata jika Israel serang Rafah
Perintah pindah di Rafah 'tidak berperikemanusiaan'- PBB
'Ke mana kami boleh pergi?' - rintih penduduk Rafah setelah Israel gesa mereka berpindah
Operasi darat Israel di Rafah bakal jadi 'tragedi tidak terkata' - PBB

SITI AISHAH MD ISA