fb fb fb fb fb

Indonesia, NZ nafi bayar wang tebusan kepada pemberontak Papua

Phillip Mehrtens (KIRI) bersama Edison Gwijangge, ketua sementara daerah Papua setelah dibebaskan daripada tahanan oleh pemberonta pada 21 September 2024 / FOTO AFP

JAKARTA, 23 September- Jakarta dan Wellington menafikan dakwaan membayar wang tebusan kepada pemberontak di wilayah Papua, Indonesia sehingga membolehkan juruterbang New Zealand yang diculik Februari tahun lalu dibebaskan daripada tahanan beberapa hari lepas.

Phillip Mehrtens, 38 tahun, dibebaskan pada Sabtu oleh kumpulan pemberontak Tentera Pembebasan Nasional Papua Barat (TPNPB) setelah 19 bulan ditahan.

Sebby Sambom, jurucakap kumpulan itu, berkata kerajaan Indonesia memberikan wang kepada ketua sementara daerah Papua di mana Mehrtens dibebaskan, mendakwa dia kemudian membayar kepada pemberontak, tanpa memberikan bukti.

"Angkatan tentera dan polis Indonesia memberikan wang kepada Edison Gwijangge dan pasukannya," katanya dalam satu kenyataan kepada AFP pada hari Isnin, merujuk kepada ketua sementara daerah Nduga.

Dana tersebut kemudian sampai kepada pemberontak "melalui sistem keluarga," kata Sambom.

"TPNPB menyerahkan juruterbang itu kepada Edison. Kemudian Edison menyerahkan juruterbang itu kepada angkatan tentera dan polis Indonesia."

Sementara itu, Menteri Luar New Zealand, Winston Peters menolak semua dakwaan yang menyebut Wellington terlibat dalam pembayaran untuk pembebasan Mehrtens.

Namun menyatakan diplomasi yang memastikan kebebasan juruterbang itu.

"Saya rasa ini adalah sesuatu yang memalukan, sejujurnya, bahawa ada cadangan bahawa rasuah dibayar. Kami tidak membayar tebusan, kami tidak membayar rasuah," kata Peters kepada Radio New Zealand pada Isnin.

"Semua kerja yang dilakukan oleh orang-orang ini daripada pelbagai pihak, termasuk pegawai, bekerja sebaik mungkin agar tidak membuat kesilapan atau menyinggung dan agar segala-galanya tidak gagal, kini telah tercemar oleh tuduhan rasuah."

Jurucakap untuk pasukan tugas bersama Indonesia yang terdiri daripada polis dan tentera yang menyelamatkan Mehrtens berkata tiada wang diberikan secara langsung kepada pemberontak.

"Tidak ada permintaan untuk wang atau sebarang syarat daripada Egianus Kogoya untuk pembebasan juruterbang itu," kata Bayu Suseno, merujuk kepada pemimpin pemberontak saingan yang dituduh mengambil bayaran.

Pemberontak tersebut berkata warga asing adalah sasaran kerana kerajaan mereka mempunyai hubungan dengan Indonesia.

Semasa ditahan di pedalaman Papua, warga New Zealand itu membuat penampilan secara tidak konsisten dalam video untuk berucap kepada keluarganya dan pemerintahnya.

Penampilannya berubah dengan drastik dari masa ke masa tetapi dia kelihatan dalam keadaan fizikal yang baik setelah dibebaskan dan tiba di ibu kota Jakarta pada malam Sabtu.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE