SANAA, 20 Mac- Kumpulan Huthi di Yaman melancarkan serangan terbaharu ke atas Lapangan Terbang Ben Gurion di Israel menggunakan peluru berpandu balistik hipersonik "Palestine 2".
Jurucakap tenteranya Yahya Saree mengesahkan serangan itu dilakukan sebagai sokongan kepada rakyat Palestin dan tindak balas terhadap serangan Israel di Gaza ketika ini yang mencabuli perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa sejak 19 Januari lalu.
"Unit peluru berpandu Angkatan Bersenjata Yaman telah menjalankan operasi ketenteraan tepat menyasarkan Lapangan Terbang Ben Gurion di Jaffa yang diduduki Zionis menggunakan peluru berpandu balistik hipersonik Palestine 2.
"Operasi ini berjaya mencapai sasarannya," kata Yahya.
Selain itu, Huthi turut meningkatkan operasi ketenteraan terhadap kapal perang di Laut Merah termasuk kapal induk USS Harry S. Truman dan kapal pengiringnya menggunakan peluru berpandu balistik, peluru berpandu jelajah dan dron.
"Pasukan bersenjata kami telah berjaya mengenai sasaran dan akan terus berdepan dengan pencerobohan Amerika Syarikat (AS)," ujar Yahya.
Sementara itu, Presiden AS Donald Trump menerusi platform Truth Social mengancam Huthi "akan dimusnahkan sepenuhnya" dan memberi amaran kepada Iran supaya menghentikan sokongan kepada kumpulan itu. -AFP
BERITA BERKAITAN
- Huthi serang Israel susulan pencabulan gencatan senjata di Gaza
- Israel cabul gencatan senjata, kecaman global memuncak
- Palestin mohon sesi tergempar Majlis Liga Arab
- Hamas sahkan Ketua Pentadbiran Essam al-Dalis terbunuh
- Netanyahu terus dikecam pertaruh nyawa tebusan
- Serangan udara Israel bunuh 14 sekeluarga