GAZA CITY, 20 Mac- Serangan udara rejim Zionis ke atas sebuah kediaman di Beit Lahia, utara Gaza pada Rabu telah meragut nyawa 14 sekeluarga manakala beberapa lagi cedera dan masih tertimbus di bawah runtuhan.
Jurucakap Agensi Pertahanan Awam Gaza, Mahmud Bassal mengesahkan jenazah 14 mangsa telah dibawa ke hospital, sementara pasukan penyelamat sedang berusaha mencari mangsa yang masih hilang.
Serangan dilapor berlaku ketika kesemua mangsa sedang berkumpul di sebuah rumah yang sedang mengadakan majlis takziah bagi memperingati kematian ahli keluarga mereka sebelum ini.
"Sekurang-kurangnya 14 syahid dan beberapa yang lain cedera akibat serangan udara ke atas sebuah rumah yang menjadi lokasi perkabungan," katanya.
Serangan berkenaan merupakan sebahagian siri keganasan berterusan yang dilakukan Zionis ke atas penduduk Palestin sejak gencatan senjata antara Israel-Hamas pada 19 Januari lepas. -AFP