NEW YORK, 20 Mac- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menggesa siasatan penuh berhubung kematian seorang kakitangan agensinya dalam serangan di Gaza yang turut mencederakan lima individu lain dalam satu letupan.
Gesaan itu disampaikan oleh jurucakap PBB Farhan Haq dalam satu taklimat media di ibu pejabat PBB di sini pada Rabu.
Haq menyatakan bahawa dua rumah tetamu PBB di Deir el-Balah menjadi sasaran serangan, menjadikan jumlah keseluruhan kakitangan PBB yang terbunuh di Gaza sejak 7 Oktober 2023 meningkat kepada sekurang-kurangnya 280 orang.
"Setiausaha Agung PBB mengecam sekeras-kerasnya sebarang serangan terhadap kakitangan PBB dan menuntut siasatan penuh," kata Haq.
Ketua Pejabat Perkhidmatan Projek PBB (UNOPS) Jorge Moreira da Silva pula menegaskan bahawa tragedi itu bukan satu kemalangan.
Serangan itu berlaku di tengah-tengah peningkatan serangan rejim Zionis ke atas Gaza yang menurut Kementerian Kesihatan Gaza telah mengorbankan lebih 400 nyawa dalam tempoh dua hari, angka tertinggi sejak gencatan senjata dikuatkuasakan pada 19 Januari lalu. -AFP