fb fb fb fb fb

13 askar Niger terbunuh dalam dua serangan berasingan

Kumpulan militan Boko Haram / Foto AFP

NIAMEY, 20 Mac – Tiga belas askar Niger terbunuh dalam dua pertempuran berasingan dengan kumpulan militan, menurut kenyataan tentera pada Rabu.

Dalam kejadian pertama yang berlaku di sebuah tapak perlombongan emas di wilayah Tillaberi, barat Niger, "sembilan askar terkorban dalam pertempuran" dengan kumpulan yang berkerjasama dengan Negara Islam (IS), kata kenyataan tentera dalam satu buletin operasi.

Serangan pada 15 Mac itu melibatkan pasukan musuh yang datang sebagai pasukan bantuan dari seberang sempadan Burkina Faso dengan sekitar 100 motosikal, tambah kenyataan tentera.

Negara jiran tersebut bekerjasama dalam operasi udara dan darat untuk menumpaskan serangan berkenaan, yang mengakibatkan 55 militan terbunuh, menurut pihak tentera Niger.

Tujuh askar Niger turut cedera dalam insiden berkenaan.

Dua hari kemudian, satu pos tentera di bahagian lain negara Sahel itu diserang "oleh sekumpulan sekitar 300 orang" yang dikenal pasti sebagai anggota Boko Haram.

Penyerang "menggunakan kenderaan yang dipasang perangkap serta bahan letupan lain, mengorbankan empat askar, menurut kenyataan tentera.

Niger, sebuah negara tanpa pantai, kini diperintah oleh sebuah junta yang merampas kuasa dalam kudeta pada Julai 2023, dengan janji untuk mengembalikan kestabilan serta memastikan hasil dari sumber perlombongan dan minyak kekal terjamin.

Namun, keganasan masih berterusan, dengan peningkatan aktiviti militan, kemunduran demokrasi, sekatan kebebasan awam, serta kesan sosioekonomi yang teruk akibat sekatan, menurut pemantau konflik antarabangsa (ACLED).

Bersama sekutu junta mereka, Mali dan Burkina Faso, Niger kini dalam proses membentuk satu pasukan bersama seramai 5,000 anggota untuk menangani cabaran keselamatan yang semakin meruncing, termasuk pemberontakan militan, kumpulan jenayah terancang dan rangkaian pemerdagangan manusia.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD