fb fb fb fb fb

Kanada kecam hukuman mati empat warga di China

Mélanie Joly/RTM

OTTAWA, 20 Mac- Kanada mengesahkan China telah melaksanakan hukuman mati terhadap empat warganya yang disabitkan kesalahan berkaitan dadah meskipun rayuan rasmi telah dikemukakan bagi meringankan hukuman tersebut.

Menteri Luar Kanada Mélanie Joly menyatakan Ottawa mengecam sekeras-kerasnya pelaksanaan hukuman itu dan menegaskan bahawa pihaknya telah berusaha meminta pertimbangan daripada Beijing.

"Kami mengecam sekeras-kerasnya pelaksanaan hukuman mati terhadap rakyat Kanada di China," katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai kes berkenaan atas permintaan keluarga mangsa yang mahu menjaga privasi.

Kedutaan China dalam kenyataan kepada Globe and Mail menyatakan mereka yang dihukum telah disabitkan kesalahan berkaitan dadah dan menegaskan China mengamalkan dasar "tolak ansur sifar" terhadap jenayah sedemikian.

"Jenayah berkaitan dadah adalah kesalahan serius yang diiktiraf di peringkat global sebagai ancaman besar kepada masyarakat," menurut kenyataan itu.

China tidak mendedahkan data rasmi mengenai hukuman mati kerana diklasifikasikan sebagai rahsia negara, namun organisasi hak asasi manusia seperti Amnesty International percaya ribuan individu dihukum mati di negara itu setiap tahun.

Hubungan diplomatik antara Kanada dan China tegang sejak beberapa tahun lalu khususnya selepas penahanan seorang eksekutif kanan syarikat telekomunikasi China di Vancouver pada 2018 atas waran Amerika Syarikat.

Beijing bertindak balas dengan menahan dua rakyat Kanada atas tuduhan pengintipan yang memburukkan lagi hubungan kedua-dua negara.

Ketegangan berlanjutan dengan dakwaan campur tangan China dalam pilihan raya Kanada pada 2019 dan 2021 yang dinafikan oleh Beijing.

Pada 2023, Joly mengusir seorang diplomat China yang dituduh menyasarkan seorang ahli parlimen pembangkang Kanada yang lantang mengkritik Parti Komunis China.

Ottawa turut mengkritik tindakan China terhadap minoriti Muslim Uyghur serta sekatan ke atas kebebasan di Hong Kong. -AFP

SITI AISHAH MD ISA