fb fb fb fb fb

Trak gas terbabas dan meletup di Nigeria, 10 maut

Orang ramai melarikan diri dalam keadaan panik (kanan) selepas trak membawa CNG yang terlibat kemalangan jalan raya meletup (tengah) selepas kenderaan itu terbakar (kiri) di sebuah lebuh raya di Nigeria/X @tosinfalade

ABUJA, 20 Mac- Sekurang-kurangnya 10 orang maut dalam nahas melibatkan sebuah trak membawa gas asli termampat (CNG) di lebuh raya berhampiran Nyanya di Nigeria pada Rabu.

Trak berkenaan dilaporkan hilang kawalan sebelum merempuh beberapa kenderaan lain, menyebabkan letupan besar yang mencetuskan kebakaran dan merebak ke kenderaan berhampiran.

Jurucakap Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan (NEMA) Nonso Ezekiel berkata operasi menyelamat berdepan kesukaran akibat kesesakan lalu lintas yang menyebabkan lebuh raya ditutup di kedua-dua arah.

Menurut wartawan AFP di lokasi kejadian, sekurang-kurangnya 10 mayat ditemui, namun angka berbeza diberikan oleh pihak berkuasa lain yang menyatakan jumlah korban antara lima hingga enam orang.

Kejadian itu merupakan insiden terbaharu melibatkan trak bahan api di Nigeria yang sebelum ini mencetuskan langkah pembaharuan terhadap kenderaan membawa petrol cecair.

CNG semakin popular di Nigeria sejak dua tahun kebelakangan ini berikutan krisis kos sara hidup berpunca daripada pemansuhan subsidi petrol oleh kerajaan.

Pada 1 Mac lalu, Kerajaan Nigeria telah melarang trak membawa lebih 60,000 liter bahan api berikutan beberapa nahas melibatkan lori tangki, namun firma perunding risiko SBM Intelligence menyatakan larangan itu tidak menangani masalah utama seperti kekurangan infrastruktur, kelemahan peraturan dan latihan pemandu. -AFP

SITI AISHAH MD ISA