JAKARTA, 20 Mac- Parlimen Indonesia hari ini meluluskan pindaan undang-undang yang membolehkan anggota tentera memegang lebih banyak jawatan dalam kerajaan, meskipun mendapat kritikan bahawa langkah itu akan memperluaskan pengaruh angkatan bersenjata dalam urusan awam.
Pindaan terhadap undang-undang angkatan tentera itu yang didorong oleh gabungan Presiden Prabowo Subianto bertujuan memperluaskan peranan ketenteraan di luar bidang pertahanan dalam sebuah negara yang sejak sekian lama dipengaruhi oleh kekuatan tenteranya.
Langkah itu mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan kembalinya pengaruh tentera seperti era pemerintahan diktator Suharto, yang mana Prabowo pernah berkhidmat dan tentera digunakan untuk mengekang perbezaan pendapat.
"Sudah tiba masanya kita meminta fraksi (blok politik) untuk meluluskan pindaan ini... boleh kita setujui untuk mengesahkannya menjadi undang-undang?" kata Speaker Dewan Puan Maharani kepada sidang pleno.
Ahli parlimen kemudian bersetuju secara lisan sebelum Puan Maharani mengetuk tukul, menandakan kelulusan pindaan itu.
Ketua Tentera Nasional Indonesia (TNI) Jeneral Agus Subiyanto minggu lalu memberitahu parlimen bahawa undang-undang ketenteraan yang digubal pada 2004 sudah lapuk dan tidak lagi relevan.
Sebelum ini, pegawai tentera hanya dibenarkan berkhidmat dalam 10 agensi kerajaan termasuk Kementerian Pertahanan. Untuk menyertai institusi kerajaan lain, anggota tentera perlu meletak jawatan atau bersara daripada perkhidmatan.
Pindaan baharu membenarkan pegawai tentera berkhidmat dalam 14 institusi kerajaan termasuk Pejabat Peguam Negara dan Agensi Pengurusan Bencana. -AFP