fb fb fb fb fb

Mahkamah India putuskan isteri tonton pornografi bukan alasan cerai

FOTO HIASAN

BENGALURU, 20 Mac- Mahkamah Tinggi Madras memutuskan tindakan isteri menonton pornografi bukan alasan sah untuk perceraian, sekali gus menegaskan hak wanita terhadap autonomi seksual mereka selepas berkahwin.

Keputusan itu dibuat selepas seorang lelaki di Tamil Nadu memfailkan rayuan untuk membatalkan keputusan mahkamah lebih rendah yang menolak permohonan cerainya.

Dia mendakwa isterinya ketagih menonton pornografi dan melakukan masturbasi yang dianggap sebagai bentuk penderaan terhadapnya.

Namun, dalam penghakiman bertulis, mahkamah menyatakan bahawa "keseronokan diri bukanlah sesuatu yang terlarang" dan "jika masturbasi dalam kalangan lelaki diakui sebagai perkara biasa, maka ia tidak boleh menjadi stigma apabila melibatkan wanita".

Mahkamah juga menegaskan perkahwinan tidak menghilangkan identiti individu seseorang wanita.

"Seorang wanita mengekalkan identiti dan hak individunya walaupun selepas berkahwin. Status perkahwinan tidak menghapuskan hak asas seorang wanita sebagai individu."

Walaupun ketagihan terhadap pornografi dianggap sebagai satu isu moral, mahkamah menegaskan ia bukan alasan sah untuk penceraian mengikut undang-undang India.

Di India, perceraian masih dianggap tabu dengan hanya satu daripada 100 perkahwinan berakhir dengan pembubaran, kebanyakannya disebabkan tekanan sosial dan keluarga.

Proses perceraian di negara itu juga sering mengambil masa bertahun-tahun akibat kesesakan kes di mahkamah. -AFP

SITI AISHAH MD ISA