fb fb fb fb fb

Hina Raja: Ahli parlimen Thailand dihukum penjara dua tahun

Chonthicha Jangrew ,calon Parti Move Forward semasa kempen pilihan raya umum, di Pathum Thani, Thailand 17 Mac, 2023/ REUTERS

BANGKOK, 27 Mei- Mahkamah Thailand menjatuhkan hukuman penjara dua tahun kepada Ahli Parlimen pembangkang, Chonthicha Jangrew, atas kesalahan 'lese-majeste' atau menghina institusi beraja, hari ini.

Peguamnya, Marisa Pidsaya, berkata Chonthicha, 31, menafikan pertuduhan itu dan telah dibenarkan diikat jamin sementara menunggu rayuan terhadap keputusan itu.

Dia didakwa melakukan fitnah Diraja di bawah Seksyen 112 Kanun Jenayah kerana komen yang dibuatnya semasa perhimpunan di hadapan Mahkamah Wilayah Thanyaburi di Pathum Thani pada 11 September 2021.

Chonthicha kini merupakan ahli parlimen untuk parti pembangkang popular Move Forward Party, yang mempunyai kerusi terbanyak di parlimen dan berdepan pertikaian undang-undang berhubung rancangan untuk meminda undang-undang penghinaan diraja, yang mana mahkamah mengarahkannya supaya digugurkan daripada manifestonya.

Tahun lalu, Ahli Parlimen Bangkok, Rukchanok Srinork, dijatuhi hukuman penjara enam tahun pada Disember 2023 tanpa pengurangan berhubung kandungan media sosial yang mengkritik monarki yang dibuatnya antara 18 Julai dan 9 Ogos 2021.

Bagaimanapun, dia kini bebas dengan ikat jamin sementara membuat rayuan.

Seorang lagi Ahli Parlimen Bangkok, Piyarat 'Toto' Jongthep, menghadapi tiga pertuduhan di bawah Seksyen 112 berhubung aktivitinya sebagai ketua pengawal WeVo semasa protes antikerajaan pada 2020 dan 2021.

Menurut data dari Thai Lawyers for Human Rights, sekurang-kurangnya 272 orang berdepan pertuduhan 'lese-majeste' di bawah Seksyen 112 Akta Kanun Jenayah dan 152 telah didakwa dengan hasutan di bawah Seksyen 116.- REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI