fb fb fb fb fb

Gaza bakal jadi kubur Israel, sekiranya lancar serangan darat- Hizbullah

(FOTO AFP)

GAZA, 22 Oktober - Rakyat Palestin akan menjadikan Gaza sebagai tanah perkuburan buat tentera Israel, sekiranya masih bercita-cita melancarkan serangan darat ke atas wilayah yang dikepung, kata seorang pegawai tinggi dengan gerakan pejuang Hizbullah.

Timbalan Setiausaha Agung Hizbullah Sheikh Naim Qassem dalam ucapan langsung pada hari Sabtu berkata gerakan pejuang Hizbullah perlu menang dalam pertempuran menentang rejim Zionis.

"Kami tidak mempunyai pilihan selain menang. Manakala penjajah(Israel) tidak mempunyai pilihan selain menerima kekalahan", kata Sheikh Qassem.

Sheikh Qassem turut memuji keberanian kumpulan pejuang Hamas ketika Operasi Ribut Al-Aqsa 7 Oktober lalu dan menyifatkan serangan itu benar-benar memburukkan keadaan di Israel.

Dalam masa sama, pegawai tertinggi Hizbullah itu turut mengecam barat yang menyokong rejim Israel serta bersubahat dalam jenayah perang di Gaza.

Tambahnya, pendirian barat mengenai "penyelesaian dua negara" hanya bertujuan untuk mengalih perhatian masyarakat dunia mengenai situasi sebenar di Palestin.

Dia turut mengesahkan bahawa Hizbullah telah menerima desakan untuk tidak campur tangan dalam konflik Hamas-Isreal yang sedang berlangsung.

Bagaimanapun, Sheikh Qassem berkata, mereka (Hizbullah) telah pun terlibat dalam peperangan berkenaan.

"Kami memberitahu mereka yang menghubungi kami bahawa Israel mesti menghentikan pencerobohan terlebih dahulu, supaya konflik tidak berlanjutan," katanya.-PressTv.com



(FOTO AFP)

Media Baharu