fb fb fb fb fb

DRC terima 50,000 lagi dos vaksin cacar monyet

Foto AFP

KINSHASA, 11 September- Republik Demokratik Congo (DRC) menerima 50,000 lagi dos vaksin dari Amerika Syarikat (AS) untuk memerangi wabak cacar monyet atau Mpox di negara tersebut.

Menerusi perkongsian di X, Duta AS ke DRC, Lucy Tamlyn berkata DRC telah mencatat lebih 21,500 kes cacar monyet.

Keadaan itu turut menyebabkan lebih 700 kematian di DRC.

"Sumbangan sebanyak 50,000 vaksin Mpox dari AS tiba di DRC," katanya.

Tambahan 15,000 dos lagi dihantar dalam pesawat yang sama oleh Gavi Vaccine Alliance, kata institut kesihatan awam itu.

Pada Ahad lalu, kira-kira 100,000 vaksin yang disumbangkan Kesatuan Eropah tiba di ibu kota DRC, Kinshasa, disahkan oleh institut kesihatan awam dan Pusat Kawalan Penyakit Afrika.

DRC menerima penghantaran pertama vaksin yang disumbangkan oleh EU pada Khamis.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan vaksin yang diberikan kepada DRC kepada 265,000.

Vaksin-vaksin itu dihasilkan oleh makmal Denmark, Bavarian Nordic.

Ia adalah satu-satunya vaksin yang diluluskan di Eropah dan AS; hanya untuk orang dewasa.

Bavarian Nordic baru-baru ini memfailkan permohonan kepada Agensi Ubat Eropah untuk memperluas kelulusan kepada kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Satu lagi vaksin Mpox, yang digunakan untuk orang dewasa dan kanak-kanak, telah dibenarkan di Jepun.

DRC sedang dalam perbincangan dengan negara tersebut untuk kemungkinan bekalan vaksin berkenaan.

Sekitar 62 peratus kes Mpox di DRC adalah dalam kalangan kanak-kanak, begitu juga empat daripada lima kematian, menurut Pusat Kawalan Penyakit Afrika.

Wabak berkenaan boleh disebarkan kepada manusia ke manusia lain menerusi hubungan seksual atau fizikal.

Gejalanya termasuk demam, sakit otot dan kulit gelembung seperti bisul.- AFP

BERITA BERKAITAN:

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM