fb fb fb fb fb

Presiden Brazil kecam PBB gagal lindungi Gaza

Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva/ AFP

KUALA LUMPUR, 25 Oktober – Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, mengecam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan badan antarabangsa lain dengan mendakwa badan tidak lagi berfungsi dan gagal melindungi mangsa perang di Gaza.

Lula membuat kenyataan itu selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelang Sidang Kemuncak ASEAN yang turut akan menyaksikan pertemuan beliau dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

“Siapa yang boleh menerima pembunuhan beramai-ramai yang telah lama berlaku di Semenanjung Gaza?” soal Lula kepada wartawan selepas mesyuarat dua hala bagi memperkukuh hubungan antara Brazil dan Malaysia.

“Institusi antarabangsa yang ditubuhkan untuk mengelakkan tragedi seperti ini kini sudah tidak lagi berfungsi. Hari ini, Majlis Keselamatan dan PBB sendiri tidak lagi memainkan peranan,” katanya.

Beliau turut menyindir Trump mengatakan bahawa “bagi seorang pemimpin, berjalan dengan kepala tegak lebih penting daripada menerima Hadiah Nobel Keamanan.”

Trump kini dalam rangka lawatan ke Asia dan dijangka menghadiri majlis menandatangani perjanjian damai Thailand–Kemboja pada Ahad, sebelum bertemu Presiden China, Xi Jinping di Korea Selatan pada Khamis.

Trumpa dijangka menghadiri majlis menandatangani perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja pada Ahad.

Hubungan antara Trump dan Lula dilaporkan semakin pulih selepas beberapa bulan tegang akibat kes membabitkan sekutu Trump, bekas presiden Brazil, Jair Bolsonaro.

Trump sebelum ini mengenakan duti 50 peratus ke atas produk Brazil dan sekatan terhadap beberapa pegawai kanan, termasuk seorang hakim Mahkamah Agung, sebagai tindak balas terhadap apa yang disifatkannya sebagai buruan politik terhadap Bolsonaro.

Pada September lalu, Mahkamah Agung Brazil menjatuhkan hukuman 27 tahun penjara ke atas Bolsonaro kerana cubaan rampasan kuasa yang gagal selepas tewas kepada Lula pada pilihan raya 2022.

Namun, hubungan kedua-dua pemimpin itu mula pulih selepas pertemuan di Perhimpunan Agung PBB pada September dan perbualan telefon pada 6 Oktober bagi membincangkan pertemuan di Sidang Kemuncak ASEAN.-AFP

ROSLINA BINTI DIN