fb fb fb fb fb

Tapak fosil New Mexico bongkar kehidupan dinosaur sebelum hentaman meteor

Ilustrasi dinosaur terakhir di selatan Amerika Utara, menampilkan Alamosaurus sanjuanensis iaitu spesies pemakan tumbuhan gergasi/REUTERS

WASHINGTON, 24 Oktober - Tapak fosil di New Mexico yang menempatkan pelbagai spesies dinosaur, termasuk Alamosaurus, dipercayai telah lama wujud sejurus sebelum hentaman asteroid yang memusnahkan kehidupan dinosaur di bumi 66 juta tahun lalu.

Kajian baharu itu menunjukkan fosil di tapak Naashoibito di barat laut New Mexico berusia sekitar 340,000 tahun sebelum hentaman asteroid di Semenanjung Yucatan, Mexico iaitu satu tempoh yang amat singkat dalam skala geologi.

Penentuan usia dilakukan melalui dua kaedah utama, iaitu mengkaji arah medan magnet bumi yang terakam dalam batuan serta mengukur pereputan isotop radioaktif semula jadi pada butiran pasir di kawasan tersebut.

“Usia fauna dinosaur Naashoibito telah lama menjadi perdebatan. Ada yang menyangka ia setua 70 juta tahun, tetapi kajian ini membuktikan ia benar-benar berasal dari akhir tempoh Cretaceous,” kata ahli paleontologi Dan Peppe dari Universiti Baylor, Texas, yang mengetuai kajian diterbitkan dalam jurnal Science.

Penemuan itu menolak teori terdahulu bahawa dinosaur mengalami kepupusan sebelum hentaman asteroid.

Antara fosil yang ditemui termasuk Tyrannosaurus, Torosaurus, serta beberapa spesies dinosaur paruh itik dan berperisai.

Alamosaurus, haiwan seberat lebih 30 tan dan sepanjang hampir 30 meter merupakan antara dinosaur pemakan tumbuhan terbesar yang pernah direkodkan di Amerika Utara.

Kajian turut mendapati komuniti dinosaur di bahagian selatan benua Amerika Utara berbeza dengan kawasan utara seperti Montana dan Dakota, menunjukkan kewujudan pembahagian ekologi yang jelas.

“Ini membuktikan kepelbagaian spesis dinosaur dan berkembang hingga ke penghujung tempoh Cretaceous,” jelas Peppe.

Rakan penyelidik dari Universiti Edinburgh, Steve Brusatte, menambah bahawa tiada bukti menunjukkan dinosaur berada dalam keadaan terancam sebelum peristiwa kepupusan besar-besaran itu.

“Bayangkan, saat terakhir sebelum hentaman meteor, seekor dinosaur sebesar kapal terbang berjalan megah di bumi, dan sekelip mata, seluruh planet bergegar akibat tenaga dahsyat dari angkasa,” katanya. -REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD