PARIS, 25 Oktober - Badan pemantau kewangan global, FATF, pada Jumaat menggugurkan Afrika Selatan, Nigeria, Burkina Faso dan Mozambique daripada senarai kelabu negara yang berada di bawah pemantauan intensif berhubung pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.
Dalam kenyataan selepas mesyuarat di sini, FATF berkata keputusan itu dibuat susulan lawatan penilaian di lapangan yang berjaya dan pelaksanaan pelan tindakan dalam tempoh masa yang dipersetujui.
Keempat-empat negara tersebut kini tidak lagi tertakluk kepada pemantauan tambahan.
Presiden FATF, Elisa de Anda Madrazo, menyifatkan jumlah negara yang digugurkan kali ini sebagai satu “rekod baharu” dan perkembangan positif bagi benua Afrika.
“Afrika Selatan telah memperkukuh keupayaan mengesan pengubahan wang haram, Nigeria meningkatkan penyelarasan antara agensi, Mozambique menambah baik perkongsian risikan kewangan, manakala Burkina Faso memperketat kawalan terhadap institusi kewangan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Nigeria, Bola Ahmed Tinubu, menyambut baik keputusan itu sebagai “pencapaian besar ke arah reformasi ekonomi dan integriti institusi.”
Perbendaharaan Afrika Selatan pula menyifatkannya sebagai kejayaan dasar penting, namun menegaskan usaha memerangi jenayah kewangan akan diteruskan.
Lebih 200 negara dan wilayah kini komited melaksanakan piawaian FATF dalam membanteras pengubahan wang haram serta pembiayaan keganasan.
Senarai hitam FATF ketika ini merangkumi Iran, Myanmar dan Korea Utara yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi. - AFP