fb fb fb fb fb

Dua terbunuh dalam serangan udara Israel di selatan Lubnan

FOTO REUTERS

BEIRUT, 25 Oktober - Dua terbunuh dalam serangan udara Israel di selatan Lubnan pada Jumaat, menurut laporan media rasmi dan Kementerian Kesihatan Lubnan.

Agensi Berita rasmi Lubnan (NNA) melaporkan seorang lelaki dikenali sebagai Abbas Hassan Karky terbunuh apabila kereta yang dipandunya berhampiran bandar Nabatieh, diserang peluru berpandu dron Israel.

Tentera Israel dalam kenyataannya mengesahkan pihaknya telah menyerang dan membunuh Karky, yang didakwa sebagai komander logistik bagi markas Hezbollah di Selatan.

Menurut kenyataan itu, Karky terlibat dalam usaha membina semula keupayaan tempur Hezbollah selepas perang tahun lalu serta bertanggungjawab mengurus pemindahan dan penyimpanan senjata di selatan Lubnan.

Beberapa jam kemudian, Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan satu lagi serangan udara Israel berhampiran Nabatieh yang menyasarkan sebuah kereta, mengorbankan seorang dan mencederakan seorang lagi.

Tentera Israel mengesahkan serangan di kawasan sama dan menyatakan ia menyasarkan “seorang pemberontak yang terlibat dalam usaha menghidupkan semula keupayaan ketenteraan Hezbollah.”

Serangan terbaharu itu berlaku sehari selepas serangan udara Israel di selatan dan timur Lubnan yang meragut empat nyawa, termasuk seorang wanita warga emas.

Tentera Israel ketika itu mendakwa telah menyerang beberapa “sasaran pengganas”, termasuk kem latihan kumpulan Hezbollah.

Meskipun gencatan senjata yang dicapai pada November 2024 bertujuan menamatkan pertempuran, Israel terus melancarkan serangan di Lubnan dan mengekalkan tenteranya di lima lokasi sempadan yang dianggap strategik.

Menurut perjanjian itu, Israel sepatutnya berundur dari selatan Lubnan manakala Hezbollah perlu berundur ke utara Sungai Litani dan melucutkan semua infrastruktur ketenteraan di selatan. 

Namun, di bawah tekanan Amerika Syarikat dan kebimbangan terhadap peningkatan serangan Israel, kerajaan Lubnan kini sedang berusaha untuk melucutkan persenjataan Hezbollah, sesuatu yang ditentang keras oleh pergerakan itu dan sekutunya.

Perdana Menteri Nawaf Salam, dalam pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Pemantau Gencatan Senjata AS, Jeneral Joseph Clearfield pada Khamis, menegaskan bahawa Lubnan komited untuk “menyelesaikan proses monopoli senjata di selatan Sungai Litani sebelum akhir tahun ini.”

Sebagai balasan, beliau menuntut agar Israel “memenuhi tanggungjawabnya untuk berundur dari wilayah Lubnan yang diduduki serta menghentikan serangan berterusan.” -AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD