fb fb fb fb fb

AS kenakan sekatan terhadap Presiden Colombia

Presiden Colombia, Gustavo Petro/REUTERS

BOGOTA, 25 Oktober - Amerika Syarikat pada Jumaat mengenakan sekatan terhadap Presiden Colombia, Gustavo Petro.

Tindakan berkenaan sekali gus meningkatkan ketegangan diplomatik dengan sekutu lamanya di Amerika Latin berhubung dakwaan bahawa Petro gagal menghentikan perdagangan kokain ke AS.

Langkah itu diumumkan ketika Presiden Donald Trump memperhebatkan dasar keras terhadap pengedaran dadah, termasuk serangan tentera di perairan Caribbean yang didakwa menyasarkan kapal penyeludupan dadah.

Trump sebelum ini menuduh Petro sebagai “ketua pengedar dadah haram” selepas pemimpin berhaluan kiri itu menuduh AS melakukan “pembunuhan” menerusi serangan tersebut.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, berkata sejak Petro memegang tampuk sebagai Presiden, pengeluaran kokain di Colombia meningkat ke tahap tertinggi dalam beberapa dekad.

Peningkatan itu sekali gus “membanjiri Amerika Syarikat dan meracuni rakyatnya.”

Beliau menuduh Petro membiarkan kartel dadah berkembang tanpa tindakan tegas.

Namun, Petro menafikan dakwaan itu dan menyifatkan kenyataan Washington sebagai “pembohongan.”

Menurutnya, kerajaan beliau telah melakukan rampasan jumlah kokain paling banyak dalam sejarah dan kadar pertumbuhan tanaman coca menurun setiap tahun sejak 2021.

“Kerajaan saya tidak meningkatkan pengeluaran kokain. Sebaliknya, kami merampas lebih banyak daripada mana-mana negara dalam sejarah dunia,” kata Petro di X pada Jumaat.

Sekatan itu turut dikenakan terhadap isteri dan anak lelaki Petro serta Menteri Dalam Negeri Colombia, Armando Benedetti, di bawah undang-undang yang membolehkan AS menjejaki individu berkaitan perdagangan dadah antarabangsa.

Semua aset mereka di AS dibekukan dan warga Amerika dilarang berurusan dengan mereka.

Ketegangan antara Trump dan Petro telah berlarutan sejak pemimpin Republikan itu mengambil alih kuasa pada Januari lalu.

Minggu lalu, Trump mengancam untuk menaikkan tarif terhadap Colombia dan membekukan semua pembiayaan kepada negara itu.

Hubungan kedua-dua negara turut meruncing selepas AS membatalkan visa Petro bulan lalu berikutan penyertaannya dalam demonstrasi pro-Palestin di New York, selain enggan menerima pesawat tentera AS yang membawa pulang migran.

Bekas pegawai dasar luar AS, Brett Bruen, menyifatkan tindakan Trump mengenakan sekatan dan melancarkan serangan di luar pantai Colombia sebagai “tindakan berbahaya” yang boleh mencetuskan ketegangan baharu di rantau itu.

Dalam pertemuan bersama wakil kedutaan AS pada Ahad, Petro menegaskan bahawa Washington perlu membuat penilaian berdasarkan “data tepat” mengenai usaha Colombia memerangi dadah. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD