GAZA, 11 September- Sekurang-kurangnya 19 penduduk Palestin terbunuh dalam serangan terbaharu Israel ke atas kem pelarian Al-Mawasi.
Kementerian Kesihatan Gaza berkata kesemua jenazah telah dibawa ke hospital. Angka kematian juga dijangka terus meningkat ekoran masih ramai mangsa tertimbus pasir.
Israel bertindak menyerang zon selamat yang telah diisytiharkan di Gaza pada hari Selasa. Pada awal pencerobohan, Israel menetapkan Al-Mawasi yang terletak di selatan Gaza sebagai 'zon kemanusiaan'.
Israel telah melakukan operasi beberapa serangan di kawasan itu, termasuk serangan pada Julai yang telah membunuh ketua tentera Hamas Mohammed Deif, selain mengakibatkan lebih 90 penduduk Palestin terbunuh.
Tentera Israel berkata ia telah menyasarkan pejuang Hamas yang didakwa beroperasi di dalam kawasan kemanusiaan. Bagaimanapun, Hamas menafikan dakwaan tersebut. Hamas berkata dakwaan pejuangnya telah hadir di tempat kejadian adalah 'satu pembohongan terang-terangan'.
Jurucakap Pertahanan Awam Mahmud Bassal berkata orang yang berlindung di kem di bukit pasir di sepanjang pantai Mediterranean tidak diberi amaran mengenai serangan itu.
“Terdapat keseluruhan keluarga yang hilang di bawah pasir,” katanya.
Serangan Israel di Al-Mawasi turut mencetuskan kecaman serantau.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Banga Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menerusi Jurucakapnya, Stephane Dujarric, Gutteres menegaskan penggunaan senjata berat di kawasan berpenduduk padat adalah sesuatu yang tidak wajar.
Selain itu, Turkiye, Mesir dan Arab Saudi menyifatkan serangan tersebut menambah senarai jenayah perang Israel, pembunuhan beramai-ramai secara berterusan dan siri pelanggaran berulang yang dilakukan tentera Israel terhadap rakyat Palestin.
Menteri Liga Arab yang bermesyuarat di Kaherah memutuskan untuk campur tangan secara rasmi bagi menyokong kes Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang dibawa oleh Afrika Selatan yang menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Dalam pada itu, Setiausaha Luar Britain, David Lammy mengecam kematian yang mengejutkan. Beliau berkata gencatan senjata di Gaza amat diperlukan.-AFP