fb fb fb fb fb

UNGA ke-79: Delegasi Palestin ambil bahagian

Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour, di meja bertanda ‘Negara Palestin'/ AFP

NEW YORK, 11 September- Palestin mengambil tempat dalam kalangan negara anggota Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dalam Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-79.

Ia merupakan hak baharu yang diberikan kepada negara itu, walaupun bukan ahli penuh badan itu.

Pada Mei lalu, majoriti besar dalam Perhimpunan Agung PBB menegaskan bahawa rakyat Palestin berhak menjadi ahli penuh, satu langkah yang telah disekat oleh Amerika Syarikat menggunakan kuasa veto.

Perhimpunan Agung memberikan delegasi hak baharu tertentu dalam resolusi. Bagaimanapun, dikecualikan daripada mengundi atau menjadi ahli Majlis Keselamatan.

Bermula pada perhimpunan kali ini, rakyat Palestin boleh mengemukakan cadangan dan pindaan serta duduk dalam kalangan negara anggota.

Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour, mengambil tempatnya pada petang Selasa di meja bertanda 'Negara Palestin' antara Sri Lanka dan Sudan.

"Ini bukan semata-mata prosedur. Ini adalah detik bersejarah bagi kami," kata Duta Besar Mesir Osama Mahmoud Abdelkhalek Mahmoud.

Sama seperti semasa penerimaan resolusi itu, Israel mengecam tindakan itu.

"Sebarang keputusan dan atau tindakan yang meningkatkan status rakyat Palestin, sama ada dalam Perhimpunan Agung PBB atau secara dua hala, pada masa ini adalah ganjaran... untuk keganasan secara amnya dan Hamas khususnya," kata Timbalan Duta Israel ke PBB, Jonathan Miller.

Pada April, berikutan meletusnya perang di Gaza, warga Palestin, yang mempunyai status 'negara pemerhati bukan anggota' sejak 2012, melancarkan semula bidaan mendapatkan keahlian penuh PBB.

Keahlian penuh bukan sahaja memerlukan undian oleh Perhimpunan Agung tetapi juga memerlukan syor Majlis Keselamatan.

Amerika Syarikat, sekutu setia Israel, memveto syor Majlis Keselamatan mengenai perkara itu pada 18 April.-AFP

ROSLINA BINTI DIN