fb fb fb fb fb

Denmark lulus undang-undang pengharaman pembakaran al-Quran

Keputusan pengundian Rang Undang-Undang Pengharaman Pembakaran Al-Quran di Dewan Parlimen Denmark/ FOTO AFP

COPENHAGEN, 8 Disember- Parlimen Denmark pada Khamis meluluskan undang-undang bagi mengharamkan pembakaran al-Quran di tempat awam.

Undang-undang tersebut dilihat sebagai usaha bagi meredakan ketegangan dengan negara-negara Islam susulan beberapa protes di negara tersebut yang menyaksikan pembakaran kitab suci berkenaan sehingga menimbulkan kemarahan.

Sebelum ini, Denmark dan Sweden mengalami beberapa siri bantahan awam di mana aktivis antiIslam membakar atau merosakkan salinan Al-Quran, sehingga mencetuskan tuntutan agar kerajaan negara masing-masing bagi mengharamkan perbuatan tersebut.

Menurut Menteri Kehakiman Denmark, Peter Hummelgaard, lebih 500 demonstrasi termasuk pembakaran Al-Quran atau bendera telah didaftarkan sejak Julai lalu.

"Demonstrasi sedemikian boleh menjejaskan hubungan Denmark dengan negara lain.

"Selain itu ia boleh menggugat kepentingan dan akhirnya keselamatan negara," kata Hummelgaard.

Kerajaan Pakatan Denmark berkata bahawa undang-undang baharu itu hanya akan memberi sedikit kesan kepada kebebasan bersuara.

Undian itu menyusuli perbahasan selama lima jam di parlimen dengan 94 ahli menyokong, 77 menentang.

Rang undang-undang baharu itu memperuntukan hukuman denda atau penjara sehingga dua tahun.

Denmark telah berusaha untuk mencapai keseimbangan antara kebebasan bersuara yang dilindungi oleh perlembagaan, termasuk hak untuk mengkritik agama, dan keselamatan negara di tengah-tengah kebimbangan bahawa pembakaran Al-Quran akan mencetuskan serangan oleh kumpulan Islam.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD