fb fb fb fb fb

China kecam pemerasan AS terhadap kawalan eksport cip

Foto- AFP / Gambar fail

BEIJING, 21 Mei - Beijing mengecam kawalan eksport cip baharu yang diumumkan Amerika Syarikat (AS) sebagai satu bentuk “pemerasan”.

Negara itu memberi amaran akan mengambil langkah balas terhadap usaha mengehadkan akses China kepada semikonduktor dan rantaian bekalan teknologi tinggi.

Kementerian Perdagangan Beijing menyifatkan langkah AS itu sebagai “pemerasan dan proteksionisme unilateral yang serius menjejaskan kestabilan rantaian industri dan bekalan semikonduktor global.”

Pada minggu lalu, Washington mengumumkan garis panduan baru yang memberi amaran kepada syarikat mengenai risiko pelanggaran kawalan eksport AS jika menggunakan cip AI berteknologi tinggi buatan China, terutamanya cip Ascend keluaran gergasi teknologi Huawei.

Jabatan Perdagangan AS menjelaskan dasar tersebut bertujuan untuk berkongsi teknologi AI Amerika dengan negara asing yang dipercayai, sambil memastikan teknologi itu tidak sampai ke tangan pihak lawan.

Beijing mengecam tindakan itu dan menuduh AS menyalahgunakan kawalan eksport untuk menekan dan menyekat perkembangan China.

Kementerian Perdagangan menegaskan tindakan tersebut merosakkan hak dan kepentingan sah syarikat China serta membahayakan kepentingan pembangunan negara.

Ia turut memberi amaran bahawa mana-mana organisasi atau individu yang menguatkuasakan atau membantu menguatkuasakan langkah tersebut mungkin melanggar undang-undang China.-AFP

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN