SYDNEY, 30 Januari- Serangan seekor jerung ke atas seorang wanita di perairan Sydney Harbour, di sini, Australia, mencetuskan gempar dalam kalangan penduduk tempatan.
Insiden semalam itu difahamkan adalah yang pertama berlaku di kawasan tersebut dalam tempoh 15 tahun ini.
Polis New South Wales berkata, mangsa mengalami kecederaan serius pada kaki kanannya.
"Pemangsa menyerang pada petang Isnin lalu ketika mangsa berenang dari dermaga di Elizabeth Bay, kurang dua kilometer dari Sydney Opera House," katanya dalam kenyataan.
Difahamkan, jeritan mangsa, Lauren O'Neill, 29, didengari oleh jiran-jiran yang bergegas membantunya.
Salah seorang jiran, Michael Porter berkata, dia mendengar jeritan meminta tolong dan terlihat mangsa berusaha memanjat tangga untuk keluar dari perairan tersebut.
"Kakinya kelihatan sudah 'lembik' dan terbuka sepenuhnya (luka) serta penuh dengan darah merah gelap. (Sejak dahulu) kami sentiasa bimbang dan mengetahui tentang jerung di pelabuhan," ujarnya.
Saksi kejadian dan jiran, Michael Porter/AFP
Mangsa kemudian diberi rawatan kecemasan oleh seorang doktor haiwan yang tinggal berhampiran kawasan itu.
Dia kini dilapor sudah stabil dalam rawatan rapi di Hospital St Vincent dan dijangka akan menjalani pembedahan dalam waktu terdekat ini.
Sementara itu, saintis jerung, Amy Smoothey berkata, berdasarkan imej dan analisis gigitan, pihaknya mengesahkan ia adalah serangan jerung lembu.
Katanya, sekurang-kurangnya 87 ekor jerung lembu dikesan mendiami perairan Sydney Harbour sejak tahun 2009.
Penandaan itu menunjukkan bahawa jumlah jerung lembu di perairan berkenaan berada pada tahap tertinggi semasa musim panas Australia sekitar Januari dan Februari.
Kes pertama serangan jerung di Sydney Harbour adalah pada Februari 2009 apabila seorang tentera laut Australia cedera apabila digigit jerung spesis sama. -AFP