FOTO AFP
DENPASAR, 17 Februari- Bali menerima kedatangan pesawat penumpang antarabangsa yang pertama semalam setelah hampir dua tahun.
Penyambungan semula khidmat penerbangan ke pulau peranginan itu dilakukan selepas Bali melonggarkan perintah kuarantin meskipun ia berdepan lonjakan kes COVID-19 akibat varian Omicron.
Gabenor pulau itu, Wayan Koster berkata sebuah pesawat Singapore Airlines yang membawa 109 pengembara antarabangsa dan 47 warga Indonesia telah mendarat di Bali, semalam.
Ujarnya, pelancong asing mesti tinggal dalam gelembung kuarantin di salah satu daripada 27 hotel yang ditetapkan selama tiga hingga tujuh hari, bergantung kepada jumlah dos vaksin yang diterima,
"Saya berharap pada awal Mac, tiada lagi kewajipan kuarantin untuk pelancong selagi mereka mematuhi syarat protokol kesihatan dan menunjukkan keputusan ujian negatif semasa berlepas dan tiba," kata gabenor itu.
Setibanya di lapangan terbang Bali, pelancong Australia, James berkata pembukaan semula itu adalah "petanda baik" untuk sektor pelancongan.
Warga Switzerland Manuela, yang kerap berkunjung ke Bali sebelum pandemik itu, berkata dia telah lama menantikan penerbangan pertama ke "Pulau Dewa-dewa" itu.
"Dua tahun tidak pergi ke Bali adalah masa yang lama. Selepas rakan saya menulis bahawa Bali akan dibuka, saya terus mencari penerbangan pertama," katanya.
Singapore Airlines berkata ia akan mengendalikan penerbangan harian bagi memenuhi "permintaan yang baik".
Syarikat penerbangan lain termasuk Jetstar Airways mungkin menyambung semula khidmat penerbangan ke pulau peranginan itu seawal bulan depan.
"Kami menyedari kes varian Omicron yang semakin meningkat dan turun naiknya, tetapi selagi kami melaksanakan protokol kesihatan dengan ketat, kami tidak perlu bimbang," kata pengerusi Persatuan Hotel dan Restoran Bali, Rai Wijaya.
Pihak berkuasa Bali telah menghadkan pembukaan semula pada bulan Oktober bagi negara terpilih tetapi sambutan kurang memberangsangkan kerana keperluan kuarantin yang ketat dan ketiadaan penerbangan terus.
Sementara itu, Filipina telah dibuka semula untuk pelancong antarabangsa minggu lalu manakala Vietnam merancang untuk mengalu-alukan kedatangan pelancong asing mulai 15 Mac ini.- AFP