Pendidikan media era digital: Antara kemahiran dan kefahaman industri

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Kurikulum institusi bergerak perlahan berbanding perubahan pantas industri media digital.
  • Sistem akreditasi dan budaya berhati hati menghalang percubaan model baharu serta menyekat reformasi menyeluruh.
  • Majikan menilai keupayaan membuat pertimbangan, memahami sensitiviti audiens dan mengurus krisis reputasi.
  • Latihan industri mesti memberi pendedahan sebenar; pendidik perlu refleksi dan menyesuaikan pendekatan pengajaran.

Dalam era kecerdasan buatan (AI), analitik data dan media berasaskan platform, satu persoalan semakin jelas adalah masalah graduan komunikasi di Malaysia bukan kerana mereka ketinggalan teknologi tetapi kerana mereka belum benar-benar memahami realiti sebenar industri.

Di Malaysia, permintaan terhadap kemahiran digital seperti penghasilan kandungan, analitik data dan pengurusan platform terus meningkat. Namun dalam masa yang sama, majikan masih menekankan kekurangan pada aspek komunikasi, pemikiran kritikal dan keupayaan bekerja secara kolaboratif.

Ini menunjukkan satu jurang asas: Graduan mungkin tahu menggunakan teknologi, tetapi belum tentu mampu mentafsir konteks, membaca situasi atau membuat pertimbangan dalam dunia kerja sebenar.

Kurikulum Bergerak Perlahan, Industri Bergerak Laju

Industri media hari ini berkembang dalam kadar yang sangat pantas. Peralihan daripada penyiaran konvensional kepada ekosistem digital berasaskan algoritma telah mengubah sepenuhnya cara kandungan dihasilkan dan diedarkan.

Namun, perubahan kurikulum di institusi pengajian tinggi tidak bergerak pada kadar yang sama. Banyak program masih beroperasi dalam struktur lama, dengan penyesuaian yang bersifat tambahan, bukan transformasi menyeluruh.

Akibatnya, wujud ketidakseimbangan antara latihan akademik dan keperluan industri. Isunya bukan sekadar teknologi yang belum cukup terkini, tetapi bagaimana sistem pendidikan memahami perubahan itu sendiri.

Akreditasi Melindungi, Tetapi Budaya Mengekang

Sistem akreditasi di Malaysia memainkan peranan penting dalam memastikan standard pendidikan terpelihara. Namun dalam praktiknya, ia sering disertai dengan budaya organisasi yang terlalu berhati-hati.

Institusi cenderung mengekalkan pendekatan sedia ada berbanding mencuba model baharu yang lebih responsif kepada industri. Tambahan pula, wujud jurang antara fakulti, industri dan pihak pengawal selia yang beroperasi secara berasingan.

Keadaan ini menjadikan reformasi kurikulum berlaku secara perlahan dan tidak menyeluruh, walaupun ruang untuk berubah sebenarnya wujud.

Industri Tidak Lagi Mencari ‘Skill’, Tetapi ‘Pertimbangan’

Dalam ekosistem media digital, kemahiran teknikal boleh dipelajari dalam masa singkat. Namun keupayaan membuat pertimbangan tidak mudah dibentuk.
Majikan kini lebih menilai keupayaan seperti:

• Memahami sensitiviti audiens atau khalayak
• Menilai risiko komunikasi
• Mengurus krisis reputasi
• Membuat keputusan dalam situasi tidak pasti

Nilai sebenar pekerja media terletak pada kebolehan mentafsir makna dan mengurus ketidakpastian. Inilah dimensi yang tidak boleh digantikan oleh teknologi.

Latihan Industri Bukan Sekadar Formaliti

Latihan industri sering dilihat sebagai keperluan akademik semata-mata. Namun dalam banyak keadaan, tempohnya terlalu singkat dan penglibatan pelajar terlalu terhad.

Dalam industri sebenar, pembelajaran berlaku melalui pengalaman sebenar dalam menghadapi tekanan, membuat kesilapan dan belajar daripada situasi yang tidak dijangka.

Tanpa pendedahan ini, pelajar hanya memahami industri secara permukaan. Mereka melihat, tetapi tidak mengalami. Jika latihan industri tidak direka sebagai pengalaman pembelajaran sebenar, ia akan kekal sebagai formaliti yang tidak memberi impak.

Pendidik Turut Berdepan Tekanan Perubahan

Perubahan dalam industri media turut memberi kesan kepada pensyarah. Dalam persekitaran di mana sesiapa sahaja boleh menghasilkan kandungan digital, peranan pendidik komunikasi menjadi semakin kompleks.

Mereka bukan sahaja perlu mengajar, tetapi juga menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku secara berterusan.

Dalam keadaan ini, keupayaan untuk refleksi dan penyesuaian menjadi penting. Pendidik yang bersedia belajar semula dan menilai pendekatan sendiri lebih berupaya kekal relevan dalam landskap yang berubah.

Transformasi kurikulum akhirnya tidak berlaku pada dokumen semata-mata, tetapi pada cara ia difahami dan dilaksanakan oleh pendidik.

Mendidik Cara Berfikir, Bukan Sekadar Mengguna Teknologi

Perbincangan tentang pendidikan media sering tertumpu kepada teknologi sama ada AI, data atau platform digital. Namun persoalan yang lebih penting ialah bagaimana kita membentuk cara berfikir.

Graduan hari ini tidak dinilai berdasarkan apa yang mereka tahu semata-mata, tetapi bagaimana mereka mentafsir maklumat, membuat keputusan dan bertindak dalam situasi kompleks.

Dalam dunia media yang sentiasa berubah, keupayaan ini menjadi asas kepada profesionalisme.

Cabaran sebenar pendidikan komunikasi bukan lagi menghasilkan pengguna teknologi, tetapi membentuk insan yang mampu menggunakan teknologi dengan pertimbangan yang bijaksana.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr. Md Rozalafri Johori
Pensyarah Kanan Program Komunikasi (Penyiaran)
Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi
Fakulti Sains Sosial, Universiti Islam Selangor

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.