JAKARTA, 16 April - Setelah empat hari sejak kejadian tanah runtuh di dua buah kampung di daerah Tana Toraja di wilayah Sulawesi Selatan, pasukan mencari dan menyelamat akhirnya berjaya menemukan mangsa terakhir tragedi itu hari ini.
Dua mangsa terakhir yang hilang mayatnya ditemui pada Isnin iaitu seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dan ibunya berusia 43 tahun.
"Anggota mencari dan menyelamat menemui (mangsa) tidak jauh antara satu sama lain kerana mangsa adalah ibu dan anak," kata ketua agensi mencari dan menyelamat tempatan Mexianus Bekabel dalam satu kenyataan pada Isnin.
Ujar Mexianus, dengan penemuan dua mangsa terakhir itu, operasi mencari dan menyelamat selesai.
Sebelum ini pihak berkuasa memaklumkan 19 orang terbunuh dan dua hilang dan meletakkan jumlah kematian terakhir kepada 20 orang.
Indonesia berdepan risiko kepada tanah runtuh setiap kali musim hujan lebat.
Ia diburukkan lagi dengan aktiviti pembalakan sehingga menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan.
Pada bulan lalu sahaja, banjir kilat dan tanah runtuh di Sumatera mengorbankan sekurang-kurangnya 30 orang dengan puluhan lain masih belum dijumpai.
Tanah runtuh dan banjir turut menghanyutkan puluhan rumah selain memusnahkan sebuah hotel dekat Danau Toba di Sumatera pada bulan Disember.
Kejadin itu meragut sekurang-kurangnya dua nyawa penduduk setempat - AFP