WHIPSNADE, 6 September – Seekor anak panda merah di Zoo Whipsnade menerima pemeriksaan kesihatan pertamanya pada Jumaat (5 September), yang mengesahkan ia adalah betina.
Pasangan induk, Ruby dan Nilo melahirkan anak panda itu pada 23 Jun lalu di zoo berkenaan yang memfokuskan pemuliharaan spesies tersebut.
Kelahiran itu menjadi suntikan semangat kepada program pembiakan Eropah bagi spesies panda merah yang diancam kepupusan.
Program itu bertujuan mengekalkan populasi sihat dengan kepelbagaian genetik di zoo bertauliah, sementara spesies berkenaan terus berdepan ancaman di habitat asal.
Panda merah dikategorikan sebagai spesies terancam berikutan tekanan akibat kehilangan habitat dan aktiviti pemburuan haram.
Anak panda merah dilahirkan buta untuk tempoh 30 hari pertama, dan penjaga menjangkakan ia akan mula keluar dari kotak sarang dalam masa terdekat.
Spesies itu berasal dari kaki bukit Himalaya di Nepal, India dan Myanmar serta hutan di bahagian barat China.
Hari Panda Merah disambut pada 20 September setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran tentang ancaman yang dihadapi spesies ini.- REUTERS