GENEVA, 25 Januari- Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) menekankan keperluan untuk mengambil langkah konkrit dalam mengekalkan akses rawatan perubatan kecemasan dan menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan di Gaza.
Menurut agensi berita Palestin, WAFA, Ketua delegasi ICRC di Gaza, William Schomburg berkata hampir dua juta penduduk Palestin kini berada dalam keadaan terdesak.
Katanya, Kompleks Perubatan Nasser dan Hospital Eropah Gaza di selatan Gaza yang menyediakan perkhidmatan pembedahan dan kecemasan tidak dapat menampung pesakit yang ramai.
"Hospital di Gaza mengalami kesesakan yang teruk serta bekalan perubatan, bahan api, makanan dan air yang terhad.
"Kebanyakan hospital menempatkan beribu-ribu keluarga yang kehilangan tempat tinggal.
"Kami kini berdepan risiko kehilangan dua lagi hospital akibat konflik Israel-Hamas.
"Kesan kumulatif konflik ke atas sistem kesihatan adalah dahsyat dan langkah-langkah segera mesti diambil untuk menangani perkara ini.
"Undang-undang kemanusiaan antarabangsa menetapkan bahawa semua pihak yang terlibat dalam konflik mesti menghormati sepenuhnya dan memberikan perlindungan mutlak kepada infrastruktur perubatan," katanya menerusi kenyataan.
Artikel Berkaitan:
Lebih 625,000 pelajar hilang pendidikan di Gaza
Kereta kebal Israel bunuh 9 orang di pusat perlindungan di Gaza
Tragedi Gaza bukan peperangan tetapi pembunuhan besar-besaran
Serangan 108 hari Israel ragut nyawa 11,000 kanak-kanak di Gaza