fb fb fb fb fb

Lebih 625,000 pelajar hilang pendidikan di Gaza

Meskipun konflik makin memuncak di Semenanjung Gaza, kanak-kanak Palestin yang kehilangan tempat tinggal tetap menghadiri kelas al-Quran di sekolah Bear al-Saba di Rafah/FOTO AFP

BAITULMAQDIS, 25 Januari - Lebih 625,000 pelajar di Semenanjung Gaza gagal mendapat pendidikan selepas hampir semua sekolah musnah selepas serangan berterusan Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober lalu.

Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA); Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) dalam kenyataan bersama mengesahkan jumlah keciciran pelajar di wilayah itu.

Kementerian pendidikan Palestin berkata, sekurang-kurangnya 4, 551 pelajar terbunuh dalam serangan itu terutamanya di Semenanjung Gaza dan di Tebing Barat.

Manakala 8, 193 lagi cedera dalam operasi ketenteraan Israel.

Setakat Sabtu lalu, Kementerian Pendidikan merekodkan 4,327 pelajar lelaki dan perempuan menjadi mangsa korban dalam serangan zionis Israel.

Pengeboman Israel di Semenanjung Gaza telah menjejaskan 90 peratus sekolah kerajaan dan bangunan pendidikan.

Menurut UNRWA, semua sekolahnya di Semenanjung Gaza telah ditutup, menyebabkan 300,000 kanak-kanak gagal mendapat pendidikan.

Selain itu, kementerian itu menyatakan bahawa 133 sekolah awam digunakan sebagai tempat perlindungan.

Pada masa sama, 231 guru dan pentadbir sekolah terkorban dan 756 orang lagi cedera.

GRACE AISYAH KEDAYAN