Vinicius Jr digantung empat perlawanan

Foto AFP

MADRID, 15 Oktober – Pemain sayap Real Madrid, Vinicius Junior bakal terlepas aksi El Clasico La Liga menentang Barcelona selepas digantung empat perlawanan oleh jawatankuasa disiplin Persekutuan Bola Sepak Sepanyol pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kad merah selepas menarik rambut pemain lawan dan bantah keputusan pengadil menyebabkan tindakan disiplin.
  • Real Madrid menang 1-0 walaupun beraksi 10 pemain, kekal enam mata di belakang pendahulu Barcelona.
  • Vinicius memohon maaf di media sosial; musim sukar dengan hanya satu gol dalam sembilan penampilan.

Penggantungan itu dikenakan susulan kad merah yang diterimanya ketika menentang Villarreal minggu lalu selepas menarik rambut pemain lawan, selain bantahannya terhadap keputusan pengadil.

Jawatankuasa berkenaan mengesahkan pemain Brazil itu digantung dua perlawanan kerana berkelakuan ganas ketika tidak berada dalam kedudukan untuk merebut bola, manakala dua lagi perlawanan dikenakan kerana membantah keputusan pegawai perlawanan.

Selain aksi menentang Barcelona pada 25 Oktober, Vinicius turut terlepas perlawanan La Liga menentang Sevilla pada 18 Oktober, Racing Santander pada 1 November dan Valencia pada 7 November.

Walaupun beraksi dengan 10 pemain selepas Vinicius dilayangkan kad merah, Real Madrid kendalian Jose Mourinho tetap mencatat kemenangan 1-0 ke atas Villarreal, sekali gus kekal enam mata di belakang pendahulu liga, Barcelona.

Pemain berusia 26 tahun itu berang dengan keputusan pengadil yang dibuat selepas semakan video bantuan pengadil (VAR).

Gol yang dijaringkannya selepas insiden menarik rambut Nathan Saliba turut dibatalkan.

Rakan sepasukannya terpaksa menahan Vinicius ketika dia mempertikaikan keputusan pengadil, Isidro Diaz de Mera.

Mourinho juga tidak berpuas hati dengan pengadilan dan enggan menghadiri sidang media selepas perlawanan.

Vinicius kemudian memohon maaf kepada rakan sepasukan serta penyokong Real Madrid menerusi media sosial.

“Saya memohon maaf kepada pasukan dan para penyokong,” tulisnya.

Pemain itu berdepan permulaan musim yang sukar apabila hanya menjaringkan satu gol dalam sembilan penampilan.

Dia juga diletakkan di bangku simpanan ketika menentang Villarreal sebelum dimasukkan sebagai pemain gantian kira-kira 20 minit sebelum dilayangkan kad merah.

Perlawanan di Camp Nou itu bakal menjadi aksi El Clasico pertama Mourinho sejak kembali mengendalikan Real Madrid pada musim panas ini.

Sementara itu, Barcelona kendalian Hansi Flick, yang muncul juara Sepanyol dua musim berturut-turut mencatat rekod sempurna dengan 10 kemenangan daripada 10 perlawanan dalam semua pertandingan musim ini. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.