Untung Tesla meningkat, Musk tekad labur AS$25 bilion dalam AI dan robotik

FOTO REUTERS

NEW YORK, 23 April -Tesla mencatatkan prestasi kewangan yang memberangsangkan bagi suku pertama tahun ini dengan perolehan dan keuntungan melepasi jangkaan pasaran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Elon Musk mahukan pelaburan lebih AS$25 bilion untuk 2026 bagi mengubah Tesla menjadi syarikat teknologi AI dan infrastruktur robotik.
  • Pengeluaran Optimus humanoid dipercepat; kilang berskala besar disasarkan bermula suku kedua, kapasiti jangka panjang 10 juta unit setahun.
  • FSD mencapai 1.28 juta pelanggan dan Tesla merancang pelancaran tanpa seliaan di sekurang-kurangnya 12 negeri Amerika Syarikat menjelang 2026.

Prestasi berkenaan direkodkan ketika syarikat itu mengesahkan pelan pelaburan besar-besaran untuk memperkukuh kedudukannya dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) dan robotik.

Syarikat kenderaan elektrik (EV) milik Elon Musk itu melaporkan keuntungan bersih sebanyak AS$477 juta, meningkat 17 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Hasil keseluruhan pula melonjak 16 peratus mencecah AS$22.4 bilion.

Peningkatan keuntungan didorong oleh pemulihan permintaan di pasaran Amerika Utara dan Eropah serta pertumbuhan berterusan di Asia dan Amerika Selatan.

Tesla turut mencatatkan rekod baharu bagi langganan program bantuan pemandu Autonomi Penuh (FSD) yang kini mencecah 1.28 juta pengguna, iaitu peningkatan sebanyak 51 peratus berbanding tahun lepas.

Meskipun mencatatkan keputusan positif, saham Tesla mengalami sedikit penyusutan dalam dagangan selepas waktu pejabat berikutan kebimbangan penganalisis Wall Street terhadap rancangan perbelanjaan modal yang agresif.

Ketua Pegawai Kewangan Tesla, Vaibhav Taneja mendedahkan syarikat kini memperuntukkan lebih AS$25 bilion untuk perbelanjaan modal pada tahun 2026, meningkat daripada unjuran awal AS$20 bilion pada Januari lepas.

Elon Musk menyifatkan pelaburan itu sebagai “langkah kritikal” untuk masa depan syarikat, dengan tumpuan beralih daripada sekadar pengeluar kereta kepada sebuah firma teknologi AI dan infrastruktur robotik.

“Masa depan syarikat ini sangat cerah. Kami sedang membina asas untuk peningkatan pengeluaran kenderaan secara besar-besaran selain mempercepatkan pembangunan perisian AI,” kata Musk dalam sesi taklimat bersama pelabur.

Tesla turut mengesahkan syarikat tersebut kini berada di landasan untuk memulakan pengeluaran besar-besaran bagi model Cybercab dan Tesla Semi pada tahun ini.

Syarikat itu juga telah menamatkan pengeluaran model premium S dan X di kilang Fremont bagi memberi laluan kepada pemasangan robot humanoid, Optimus.

Persediaan untuk kilang Optimus berskala besar pertama dijangka bermula pada suku kedua tahun ini, dengan kapasiti pengeluaran jangka panjang disasarkan mencecah 10 juta unit setahun.

Mengenai perkhidmatan pengangkutan autonomi, Musk menyatakan hasrat untuk melancarkan FSD tanpa seliaan di sekurang-kurangnya 12 negeri di Amerika Syarikat menjelang akhir 2026.

Beliau bagaimanapun mengakui syarikat mengambil pendekatan “sangat berhati-hati” dalam fasa pelaksanaannya bagi memastikan faktor keselamatan diutamakan.

Penganalisis pasaran berpendapat meskipun pelaburan besar tersebut meningkatkan risiko aliran tunai dalam jangka pendek, ia berupaya memberi nilai tambah yang signifikan kepada saham syarikat sekiranya Tesla berjaya membuktikan keupayaan teknologi autonominya secara komersial. – AFP