UCL: Real Madrid berpeluang tebus kekalahan ke atas Benfica

Foto REUTERS

NYON, 31 Januari– Real Madrid yang tewas kepada Benfica pada Rabu (28 Januari) bakal berdepan sekali lagi dengan kelab Portugal itu pada pusingan playoff kalah mati Liga Juara-Juara bulan depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Real Madrid berpeluang tebus kekalahan apabila bersemuka sekali lagi dengan Benfica dalam pusingan playoff kalah mati Liga Juara-Juara bulan depan.
  • Pemenang perlawanan dua leg ini akan menyertai lapan pasukan teratas fasa liga ke pusingan 16 terbaik.
  • Undian playoff turut mempertemukan beberapa pasukan besar lain termasuk PSG vs Monaco dan Atletico Madrid vs Club Brugge.

Juara bertahan, Paris Saint-Germain (PSG) pula diundi menentang rakan senegara dari Ligue 1, Monaco.

Undian yang berlangsung pada Jumaat (30 Januari) menyaksikan pasukan yang menamatkan fasa liga di kedudukan kesembilan hingga ke-24 diundi sesama sendiri dalam perlawanan dua perlawanan timbal balik yang dijadualkan antara 17 hingga 25 Februari.

Pemenang akan menyertai lapan pasukan teratas fasa liga ke pusingan 16 terbaik.

Dalam pertemuan terakhir fasa liga, penjaga gol Benfica, Anatoliy Trubin mencetak gol pada minit ke-98 untuk melengkapkan kemenangan 4-2 ke atas Real Madrid, sekali gus menyaksikan wakil LaLiga itu menamatkan kempen di tangga kesembilan, satu mata di belakang Manchester City yang berada di kedudukan kelapan.

PSG, juara Eropah, menamatkan fasa liga di tempat ke-11 selepas gagal meraih kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir, manakala Monaco berada di kedudukan ke-21.

Dalam undian lain, Newcastle United akan menentang kelab Azerbaijan, Qarabag, sementara Atletico Madrid yang menamatkan kempen tiga mata di bawah kelompok lapan teratas, diundi menentang Club Brugge.

Borussia Dortmund pula berdepan Atalanta selepas kedua-dua pasukan terlepas peluang menamatkan fasa liga dalam kelompok lapan teratas susulan kekalahan berturut-turut.

Satu lagi wakil Jerman, Bayer Leverkusen akan bertemu semula Olympiacos selepas tewas kepada juara Greece itu awal bulan ini.

Sementara itu, pendahulu Serie A, Inter Milan dijadual menentang wakil Norway, Bodo/Glimt, manakala Juventus akan berdepan kelab Turkiye, Galatasaray. -REUTERS