Tour de France: Merlier ungguli peringkat ke-12

Pelumba Belgium, Tim Merlier /AFP

CHALON-SUR-SAONE, 17 Julai – Pelumba Belgium, Tim Merlier membuktikan statusnya sebagai pakar pecut pada perlumbaan Tour de France apabila merangkul kemenangan ketiganya tahun ini pada Peringkat 12, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Merlier berjaya mengelak daripada terlibat dalam kemalangan besar kira-kira 400 meter sebelum garisan penamat.
  • Kemenangan tersebut menebus kekecewaan selepas terlepas peluang menjuarai pusingan di Nevers pada Rabu.
  • Merlier mengetepikan cabaran Olav Kooij dan Jasper Philipsen dengan kayuhan bertenaga pada saat-saat akhir.

Pelumba pasukan Soudal-Quick Step itu berjaya mengelak daripada terlibat dalam kemalangan besar yang berlaku kira-kira 400 meter sebelum garisan penamat pada laluan sejauh 179.1 kilometer dari Nevers ke Chalon-sur-Saone.

Kejayaan tersebut menebus kekecewaan Merlier, 33, yang sebelum itu terlepas kemenangan di Nevers pada Rabu.

Kemenangan itu sekali gus menandakan kemenangan ketiganya di Tour de France selepas menguasai peringkat di Bordeaux dan Bergerac sebelum ini.

Merlier mempamerkan kayuhan bertenaga pada saat-saat akhir untuk mengetepikan cabaran pelumba Belanda, Olav Kooij (Decathlon CMA CGM) dan rakan senegaranya, Jasper Philipsen (Alpecin-Premier Tech) yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Sementara itu, pelumba Slovenia daripada pasukan UAE Team Emirates-XRG, Tadej Pogacar, terus selesa menyarung jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan dengan mengekalkan kelebihan jurang masa melebihi tiga setengah minit di hadapan juara dua kali, Jonas Vingegaard dari Denmark. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.