
ULASAN BERITA
- Keyakinan pelabur antarabangsa meningkat, mempengaruhi aliran pelaburan dan peluang pekerjaan di Malaysia.
- Pelaburan besar mencetuskan kesan pengganda, memberi manfaat kepada pekerja, PMKS dan rantaian pembekal tempatan.
- Status gred pelaburan mengurangkan risiko kepada pelabur dan membantu menarik syarikat multinasional serta projek bernilai tinggi.
- Kerajaan perlu kekal berhati-hati; penarafan bukan jaminan kemakmuran, perlu pembaharuan dan pelaburan berkualiti untuk manfaat rakyat.
“Malaysia mengekalkan penarafan kredit berdaulat A3 Moody’s dengan Prospek Stabil.”
Sepintas lalu, kenyataan ini mungkin hanya kelihatan seperti satu lagi laporan ekonomi antarabangsa yang sukar difahami.
Tidak ramai yang benar-benar memberi perhatian kerana bagi kebanyakan rakyat, kehidupan tetap berjalan seperti biasa.
Esok tetap perlu bekerja, bil utiliti tetap perlu dibayar, anak-anak tetap perlu dihantar ke sekolah dan harga barang di pasar raya tidak berubah hanya kerana sebuah agensi penarafan antarabangsa mengeluarkan laporan terbaharunya.
Apakah sebenarnya manfaat penarafan Moody A3 kepada rakyat?
Hakikatnya, di sebalik penarafan itu tersembunyi satu penilaian yang membawa implikasi besar terhadap keyakinan dunia, aliran pelaburan, peluang pekerjaan, perkembangan perniagaan dan akhirnya kesejahteraan hidup rakyat.
Berbalik kepada persoalan ‘Apakah sebenarnya penarafan Moody’s?’
Moody’s ialah antara tiga agensi penarafan kredit terbesar dunia bersama Standard & Poor’s (S&P) dan Fitch Ratings.
Ketiga-tiga agensi ini menjadi rujukan utama institusi kewangan, dana pencen, syarikat insurans, bank pelaburan dan syarikat multinasional di seluruh dunia sebelum mereka membuat keputusan untuk melabur di sesebuah negara.
Moody’s bukan sekadar melihat sama ada ekonomi berkembang atau tidak. Penilaiannya jauh lebih menyeluruh yang dilaksanakan secara ‘Periodic Review’.
Apabila Moody’s memutuskan Malaysia terus mengekalkan penarafan A3 dengan Prospek Stabil, ia memberi mesej yang jelas bahawa asas ekonomi negara masih diyakini walaupun dunia berdepan pelbagai cabaran.
Dengan penarafan A3 kategori Gred Pelaburan, Malaysia dianggap mempunyai keupayaan kukuh untuk memenuhi obligasi kewangannya dan menawarkan tahap risiko yang relatif rendah kepada pelabur.
Persoalan paling penting dalam keseluruhan perbincangan ini.
Bagaimanakah satu penarafan kredit antarabangsa akhirnya boleh memberi kesan kepada kehidupan seorang pekerja, seorang graduan, seorang usahawan kecil atau sebuah keluarga biasa di Malaysia?
Semestinya kenyataan A3 ialah pintu yang membuka lebih banyak peluang kepada negara.
Malah ia membawa satu konsep yang menjadi asas kepada pertumbuhan ekonomi, iaitu ‘multiplier effect’ atau kesan pengganda.
Bayangkan sebuah syarikat antarabangsa melabur RM10 bilion untuk membina sebuah pusat data di Malaysia.
Ia bakal merentasi rantaian pelbagai sektor ekonomi, dari sekecil-kecil peranan peniaga makanan, pemandu e-hailing, pekerja peringkat bawahan, sehingga kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana, serta syarikat kontraktor binaan dan firma kejuruteraan tempatan.
Kitaran ini terus berulang dan berkembang, menghidupkan keseluruhan ekosistem ekonomi. Lihat sahaja bagaimana sebuah kawasan industri berkembang.
Pada peringkat awal, hanya terdapat kilang. Tidak lama kemudian muncul kawasan perumahan serta pelbagai kemudahan awam dan premis perniagaan.
Dalam konteks Malaysia, kesan ini amat penting kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), kerana ia merupakan tulang belakang ekonomi Malaysia.
Menurut SME Corp Malaysia, PMKS mewakili lebih 97 peratus pertubuhan perniagaan negara. Apabila syarikat multinasional melabur di Malaysia, di sinilah PMKS tempatan berpeluang berkembang.
Tidak terhenti di situ, apabila pelaburan diagihkan secara lebih seimbang mengikut kekuatan wilayah, negeri-negeri di seluruh Malaysia turut menikmati limpahan pembangunan dan akhirnya, sampai kepada unit paling penting dalam ekonomi, iaitu isi rumah…
Harus diingat, penarafan A3 Moody’s juga hadir dengan satu lagi dimensi, iaitu ruang fiskal.
Kemampuan kerajaan mengurus kewangan negara, menentukan sejauh mana pembangunan dapat diteruskan, kemudahan awam dapat dipertingkatkan dan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat dapat disediakan secara mampan.
Namun demikian, kita juga perlu bersikap realistik. Mengekalkan penarafan A3 bukan bermaksud Malaysia boleh berpuas hati. Sebaliknya, penarafan ini membawa satu tanggungjawab yang lebih besar.
Keyakinan yang diberikan oleh dunia perlu dipelihara. Negara perlu terus melakukan pembaharuan ekonomi. Lebih penting, Malaysia perlu memastikan pelaburan yang masuk benar-benar berkualiti.
Kita juga perlu sedar bahawa keyakinan bukanlah satu jaminan, tetapi merupakan satu peluang, dan adakah kita mampu memanfaatkan peluang tersebut?
Kerana sejarah menunjukkan, penarafan yang baik sahaja tidak menjamin kemakmuran. Akhirnya, matlamat semua usaha tersebut ialah mengangkat taraf hidup rakyat.
Ulasan Berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Siti Salwa Yusop.