Terengganu buru kejuaraan pertama Ragbi Piala Agong 2026

Perlawanan Kumpulan A menyaksikan pasukan Terengganu menewaskan PDRM dengan keputusan 26-25

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Terengganu muncul antara pencabar utama kejohanan Ragbi Piala Agong 2026 selepas menamatkan saingan sebagai juara Kumpulan A dengan rekod tanpa kalah, sekali gus menghidupkan peluang untuk menjulang trofi itu buat kali pertama sejak 2019.

RINGKASAN BERITA AI
  • Terengganu muncul pencabar utama Piala Agong 2026 selepas menamatkan saingan sebagai juara Kumpulan A tanpa kalah.
  • Yang Dipertua anggap kemenangan satu kejutan namun yakin pasukan mampu merealisasikan impian penyokong negeri.
  • Jurulatih puji disiplin tinggi pemain namun kesal kehilangan tumpuan terutama pada separuh masa kedua.

Dalam aksi terakhir yang berlangsung di Padang Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, Terengganu mengejutkan juara bertahan tiga kali berturut-turut, PDRM dengan keputusan 26-25.

Yang Dipertua Persatuan Ragbi Terengganu, Amir Amri Mohammad berkata, dari segi prestasi semua pasukan, bukan satu benda yang mudah untuk Terengganu merangkul kejuaraan kali ini tetapi percaya pasukan itu mampu merealisasikan impian penyokong negeri itu.

“Jika dilihat dalam beberapa perlawanan sebelum ini, Terengganu sering menang dengan kelebihan satu atau dua mata sahaja. Mungkin selepas ini saya akan berbincang semula dengan pihak pengurusan dan jurulatih mengenai langkah yang boleh diambil untuk mengatasi kesilapan-kesilapan kecil yang saya lihat masih berlaku dalam permainan pasukan.

“Memang kemenangan ini satu kejutan dan saya sendiri tidak menjangkakannya. Dari segi prestasi semasa, PDRM merupakan juara bertahan dan beraksi di gelanggang sendiri. Namun, Alhamdulillah, saya lihat para pemain berjaya mengendalikan tekanan dengan baik walaupun berdepan sokongan padu daripada penyokong PDRM pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas tamat perlawanan Kumpulan A yang menyaksikan Terengganu menentang PDRM di ibu negara.

Dalam aksi itu, jaringan kemenangan Terengganu hadir menerusi try Muhammad Khairul Hakim Zainal Abidin pada minit ke-68 sebelum Mohd Nasharudin Ismail menyempurnakan conversion seminit kemudian bagi meastikan mereka memang dengan kelebihan satu mata.

Sementara itu, Jurulatih Terengganu, Shamsuri Ab. Talib berkata, disiplin tinggi yang dipamerkan pemain sepanjang aksi peringkat kumpulan membolehkan mereka mengekalkan rekod tanpa kalah.

“Pemain-pemain masih ikut perancangan dan disiplin dengan apa yang dibuat semasa latihan tetapi mengakui dalam perlawanan hari ini terutama pada separuh masa kedua mereka banyak kehilangan tumpuan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.