Kelemahan buat keputusan punca PDRM tewas kepada Terengganu

K. Dinesvaran

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Kelemahan membuat keputusan dalam kalangan pemain antara faktor utama PDRM kalah tipis kepada Terengganu dalam aksi terakhir Kumpulan A saingan Ragbi Piala Agong 2026, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keluarnya kapten dan naib kapten mendorong pemain berebut peranan membuat keputusan dalam padang.
  • Kurangnya keputusan bersama menyebabkan keputusan kurang tepat yang menjejaskan prestasi pasukan.
  • Walaupun mengawal babak kedua, try dan conversion pada minit akhir membalikkan keputusan sehingga tewas 25-26.
  • Pemain beri komitmen 120 peratus tetapi hilang keyakinan mental; PDRM perlu perbaiki sebelum suku akhir.

Ketua Jurulatih PDRM, K. Dinesvaran berkata, situasi itu berlaku selepas kapten dan naib kapten pasukan dikeluarkan, sekali gus menyebabkan ramai pemain cuba mengambil alih peranan untuk membuat keputusan di dalam padang.

“Masalah utama adalah dari segi membuat keputusan. Kapten dan naib kapten kami kedua-duanya sudah keluar, jadi semua orang mahu jadi kapten dan semua orang mahu membuat keputusan sendiri..

“Itu antara budaya yang kurang baik dalam ragbi kita. Semua orang mahu membuat keputusan, tetapi tidak berkumpul semula dan membuat keputusan secara bersama. Bagi saya, keputusan-keputusan yang kurang tepat itu menyebabkan kami kalah,” katanya selepas tamat perlawanan.

Dalam aksi yang berlangsung di Padang Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur itu, PDRM yang juga juara bertahan tiga kali kejohanan itu terpaksa akur dengan kekalahan 25-26 dan menamatkan saingan di kedudukan ketiga.

Meskipun berjaya mengawal hampir keseluruhan babak kedua namun try Muhammad Khairul Hakim Zainal Abidin pada minit ke-68 dan conversion Mohd Nasharudin Ismail seminit kemudian cukup untuk memusnahkan rentak cemerlang mereka dalam perlawanan itu.

Walaupun para pemain telah memberikan komitmen sepenuhnya, beberapa keputusan yang kurang tepat memberi kesan terhadap keyakinan serta rentak permainan pasukan.

“Pemain-pemain sudah memberikan komitmen 120 peratus, namun beberapa keputusankurang tepat dalam perlawanan menyebabkan pemain hilang keyakinan dari segi mental dan akhirnya itulah yang menentukan keputusan perlawanan ini,” katanya.

K. Dinesvaran turut mengakui musim ini merupakan permulaan sukar buat PDRM dan kekalahan kepada Terengganu adalah kali kedua pasukan itu tewas dengan perbezaan satu mata.

Dalam pada itu beliau menegaskan, PDRM perlu segera memperbaiki segala kelemahan yang dikenal pasti sebelum menghadapi saingan suku akhir.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.