Terbuka Perancis: Wei Chong-Kai Wun bermula langkah kanan

KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun memulakan kempen Terbuka Perancis 2025 dengan penuh bergaya apabila mudah menyingkirkan pasangan Korea Selatan Kang Min Hyuk-Ki Dong Ju di pusingan pertama di Arena Glaz, Cesson-Sevigne hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Man Wei Chong-Tee Kai Wun memulakan Terbuka Perancis 2025 dengan kemenangan mudah, menyingkirkan pasangan Korea Selatan dalam masa 27 minit.
  • Pasangan pilihan ketujuh itu menang 21-9, 21-13, menunjukkan dominasi jelas pada pusingan pertama.
  • Mereka adalah pasangan nombor lima dunia dan akan bertemu juara Terbuka Artik 2025, Ben Lane-Sean Vendy, seterusnya.
  • Lane-Vendy menyingkirkan pasangan profesional Malaysia Nur Mohd Azriyn-Tan Wee Kiong, mengelakkan pertemuan dalaman pada pusingan kedua.
  • Beregu campuran profesional Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien tewas lagi kepada pasangan Thailand, mencatat kekalahan ketiga berturut-turut.

Beregu pilihan ketujuh itu mencatat kemenangan 21-9, 21-13 dalam masa 27 minit pada hari pembukaan kejohanan Super 750 itu.

Pasangan nombor lima dunia itu akan bertemu juara Terbuka Artik 2025 dari England Ben Lane-Sean Vendy dalam perlawanan berikutnya.

Lane-Vendy menafikan pertemuan sesama beregu Malaysia di pusingan kedua apabila mereka menyingkirkan pasangan profesional negara Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong 21-14, 21-13.

Terdahulu, beregu campuran profesional Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien gagal menamatkan badi kekalahan kepada pasangan Thailand Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran selepas tewas 17-21, 17-21 sekali gus mencatat kekalahan ketiga berturut-turut kepada pasangan pilihan ketiga itu.- BERNAMA