
KUALA LUMPUR, 25 Januari – Beregu campuran negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei, mencipta sejarah apabila muncul juara Indonesia Masters selepas menewaskan pasangan Denmark, Mathias Christiansen–Alexandra Boje, dalam perlawanan akhir, hari ini.
- Chen Tang Jie–Toh Ee Wei menang Indonesia Masters, menewaskan Mathias Christiansen–Alexandra Boje dalam perlawanan akhir tiga set.
- Ini gelaran pertama mereka untuk musim 2026 dan rekod pertemuan kini 3-1 menentang pasangan Denmark.
- Mereka jadi beregu campuran Malaysia pertama menjuarai Indonesia Masters sejak kejohanan diperkenalkan.
Pasangan ranking keempat dunia itu bangkit penuh bergaya untuk mencatat kemenangan tiga set 15-21, 21-17, 21-11 dalam perlawanan yang berlangsung selama 57 minit.
Kejayaan itu menandakan gelaran pertama Tang Jie- Ee Wei bagi musim 2026, selain memperbaiki rekod pertemuan dengan gandingan Denmark berkenaan kepada 3-1.
Lebih membanggakan, kejayaan di Istora Senayan itu turut mencatat sejarah baharu apabila Tang Jie- Ee Wei menjadi beregu campuran pertama Malaysia menjulang gelaran Indonesia Masters sejak kejohanan tersebut diperkenalkan.
Sepanjang kempen, Tang Jie- Ee Wei mempamerkan prestasi konsisten termasuk menyingkirkan beberapa pasangan ternama dunia bagi mengesahkan kejuaraan berprestij berkenaan.
Kejayaan itu dijangka menjadi suntikan keyakinan penting buat beregu negara dalam menghadapi baki saingan Jelajah Dunia BWF musim ini.