
TORONTO, 12 Ogos – Iga Swiatek menempah tiket ke separuh akhir Terbuka Kanada selepas menewaskan Diana Shnaider 6-2, 6-1 dalam aksi suku akhir di sini, pada Isnin.
- Kemenangan ini memberi suntikan keyakinan menjelang Terbuka AS, gelaran Grand Slam dimenangi Swiatek pada 2022.
- Swiatek tampil dominan dengan pukulan tepat dan pergerakan pantas di gelanggang.
- Mara ke separuh akhir WTA 1000 kali pertama musim ini selepas musim tak konsisten, termasuk kekalahan mengejut di Miami.
- Akan berdepan Elina Svitolina, yang bangkit menewaskan Ekaterina Alexandrova dan pernah menumbangkan Swiatek di Rome.
Kemenangan itu menjadi suntikan keyakinan buat Swiatek menjelang Terbuka Amerika Syarikat (AS), yang pernah dimenanginya pada 2022 untuk melengkapkan salah satu daripada enam gelaran Grand Slam dalam koleksinya.
Swiatek tampil dominan ketika berdepan Shnaider, menggabungkan pukulan tepat dan pergerakan pantas di gelanggang untuk mengatasi pemain Rusia itu dalam tempoh 68 minit.
Kemenangan berkenaan menyaksikan Swiatek mara ke separuh akhir kejohanan WTA 1000 buat kali pertama musim ini, selepas prestasinya tidak konsisten termasuk gagal melepasi suku akhir dalam kejohanan Grand Slam serta tersingkir mengejut pada pusingan kedua di Miami kepada rakan senegara, Magda Linette.
Swiatek akan berdepan Elina Svitolina pada Rabu selepas pemain Ukraine itu bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Ekaterina Alexandrova 3-6, 6-0, 6-3.
Svitolina meraikan kemenangan dengan penuh semangat selepas melengkapkan kebangkitan itu, sekali gus mengulangi pertemuannya dengan Swiatek yang pernah ditewaskannya pada separuh akhir Terbuka Itali di Rome pada Mei lalu.
Alexandrova menguasai set pertama dengan cemerlang selepas meneruskan momentum daripada kejayaan mengejutkan pemain nombor satu dunia, Aryna Sabalenka, pada pusingan sebelumnya.
Bagaimanapun, Svitolina bangkit menyamakan kedudukan pada set kedua sebelum mendahului 4-1 dalam set penentuan.
Pemain berusia 31 tahun itu memanfaatkan bola yang terkena jaring sebelum melepaskan pukulan kilas untuk mematahkan servis Alexandrova buat kali kedua.
Svitolina kemudian melepaskan dua perlawanan ketika mendahului 5-1, namun kembali tenang untuk mematahkan servis lawan dan mengesahkan kemaraan ke separuh akhir.- REUTERS