
KUALA LUMPUR, 10 Julai – Dua acara bagi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 sah digugurkan kerana tidak menepati syarat asas penyertaan minima 6 pasukan negeri.
- Dua acara SUKMA 2026 digugurkan kerana tidak capai syarat minima enam pasukan negeri.
- Acara digugurkan: Rapid Fire pistol berpasukan dan renang artistik cuma menerima empat hingga lima penyertaan.
- MSN bersedia menyediakan peruntukan untuk menganjurkan kejohanan khas renang artistik bagi pasukan yang telah berlatih.
- SUKMA penting menjelang Sukan SEA 2027 dan Sukan Para Asean 2027; jurulatih dihantar untuk menilai atlet berpotensi.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, acara itu termasuk Rapid Fire pistol berpasukan dan renang artistik yang hanya menerima empat hingga lima penyertaan.
Walaubagaimana pun, pihak MSN bersedia mengeluarkan peruntukan bagi mengadakan satu kejohanan khas acara renang artistik buat pasukan-pasukan yang telah berlatih untuk persediaan SUKMA.
“Saya telah mengadakan perbincangan dengan Persatuan Renang Malaysia (MAS) untuk menganjurkan kejohanan khas bagi renang artistik yang telah berlatih sepanjang tahun untuk SUKMA agar mereka dapat bertanding di satu kejohanan khas tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Perjalanan Atlet di MSN, hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata SUKMA kali ini sangat penting dan kritikal memandangkan dua temasya besar iaitu Sukan SEA 2027 dan Sukan Para Asean 2027 akan berlangsung pada tahun depan.
Justeru pihaknya akan menghantar jurulatih dan pengurus sukan untuk menilai atlet-atlet yang berpotensi dipilih ke program penyediaan atlet.
Langkah itu bagi kedua-dua sukan tersebut mengisi kelompongan yang masih ada dalam sukan tertentu.
“Dalam perbincangan mesyuarat Jawatankuasa Perjalanan Atlet tadi, kita maklumkan mahu semua acara untuk Sukan SEA dan Sukan Para Asean 2027 ada wakil Malaysia,” tambah beliau.
Malaysia akan menjadi tuan rumah Sukan SEA Ke-34 dari 18 hingga 29 September 2027 melibatkan empat kluster penganjuran iaitu Kuala Lumpur, Sarawak, Johor dan Pulau Pinang.
Sementera Sukan Para ASEAN Ke-14 pula akan berlangsung di Kuala Lumpur dari 17 hingga 23 Oktober 2027.