Sukan Media MSN-SAM 2026, perkukuh kerjasama prestasi sukan negara

Foto RTM

LUMUT, 22 November – Penganjuran Program Sukan Media MSN-SAM 2026, menjadi platform bagi memperkukuh persefahaman dan kerjasama antara Majlis Sukan Negara (MSN), pengamal media serta rakan penaja berkongsi matlamat dalam usaha memacu prestasi sukan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program dua hari anjuran bersama SAM melibatkan kira-kira 150 peserta daripada pengamal media, kakitangan MSN dan rakan penaja.
  • Peranan media memberi impak besar terhadap prestasi atlet, mempengaruhi kecemerlangan mahupun kemunduran mereka.
  • Aktiviti termasuk treasure hunt, sukaneka, telematch, permainan dinamik, sesi refleksi dan penyampaian hadiah.

Ketua Pengarah MSN, Arrifin Mohd Ghani berkata, program selama dua hari yang bermula semalam itu merupakan anjuran bersama Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), dengan berkonsepkan himpunan santai melibatkan kira-kira 150 peserta terdiri daripada pengamal media, kakitangan MSN serta rakan penaja.

Menurutnya, pengaruh media dalam sukan tidak boleh dipandang ringan kerana peranan yang dimainkan turut memberi kesan terhadap prestasi dan perkembangan atlet.

“Alhamdulillah, objektif kita untuk mengeratkan hubungan antara warga sukan, media, dan penaja mendapat maklum balas sangat positif.

“Kali ini kita tampil dengan sedikit kelainan menerusi aktiviti “treasure hunt” dan sukaneka.

“Tujuan program ini cukup jelas, pertama untuk mengeratkan hubungan antara warga sukan media dan penaja kita yang mana objektifnya adalah sama, iaitu membantu meningkatkan prestasi sukan.

“Peranan media memang tidak dapat kita nafikan. Kecemerlangan atlet mahupun kemunduran mereka juga mempunyai kaitan dengan peranan yang dimainkan media,” katanya ketika ditemui pada majlis penutup program di sini, hari ini.

Sementara itu, Presiden SAM, Norismadi Abd Manap turut merakamkan penghargaan kepada MSN serta rakan penaja atas kejayaan program tersebut.

Beliau turut berharap inisiatif berkenaan dapat diteruskan demi pembangunan sukan tanah air.

“Kita berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi mengukuhkan hubungan silaturahim dan kerjasama antara warga media, MSN serta rakan penaja demi kepentingan pembangunan sukan negara,” kata Norismadi.

Pengisian hari pertama melibatkan aktiviti “treasure hunt” serta sesi jaringan santai, sebelum diteruskan dengan acara “telematch”, permainan dinamik, sesi refleksi, dan penyampaian hadiah pada hari penutup.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.