
KUALA LUMPUR, 21 Julai – Juara dunia dan pelari menara nombor satu dunia, Soh Wai Ching bertekad meneruskan prestasi cemerlang di pentas antarabangsa menerusi siri kejohanan yang akan berlangsung bermula Ogos ini.
- Jadual padat: Kuantan 188 Tower Run 1 Ogos, Guangzhou 8 Ogos, Ho Chi Minh 9 Ogos, fokus The Sky Race Merdeka 118 22 Ogos.
- Sasaran memecah rekod peribadi di Merdeka 118 dengan masa di bawah 15 minit 20 saat, menambah baik rekod 15:37 sebelum ini.
- Komitmen meneruskan usaha agar larian menara dipertandingkan di Sukan SEA masa depan, sasaran 2029 atau 2031 jika tidak pada 2027.
Menurutnya, jadual pertandingan yang padat akan dimulakan dengan penyertaan dalam Kuantan 188 Tower Run pada 1 Ogos, diikuti perlumbaan di Guangzhou, China pada 8 Ogos serta Ho Chi Minh, Vietnam pada 9 Ogos.
Fokus seterusnya akan terarah kepada The Sky Race di Merdeka 118 pada 22 Ogos.
Kempen antarabangsa Soh Wai Ching akan diteruskan menerusi penyertaan dalam Metropolitan Sky Race di Barcelona, Sepanyol pada 3 Oktober, sebelum menutup tirai musim pertandingan dengan menyertai Empire State Building Run-Up edisi ke-48 di New York, Amerika Syarikat pada 6 Oktober.
“Saya perlu membiasakan diri dengan sesi berintensiti tinggi secara berturut-turut. Saya pernah melakukannya sebelum ini, jadi kini hanya perlu mengembalikan rentak tersebut dan mengujinya apabila semakin hampir dengan hari pertandingan.
“Persiapan ini penting bagi memastikan saya masih mampu memberikan aksi terbaik pada hari pertandingan. Faktor pemulihan menjadi aspek paling utama, lebih-lebih lagi apabila perlu mengharungi saingan secara berturut-turut di negara berbeza yang memerlukan perjalanan sekitar dua hingga tiga jam.
“Selain itu, aspek logistik juga perlu diurus dan dirancang dengan teliti supaya semuanya berjalan lancar. Setakat ini, saya yakin tiada masalah untuk menghadapi cabaran tersebut.
“Bagaimanapun, cabaran terbesar bagi saya ialah saingan di Menara Merdeka 118 kerana ia berlangsung di laman sendiri. Sudah tentu tekanan untuk beraksi di hadapan penyokong sendiri amat tinggi,” katanya pada sidang media selepas diumumkan sebagai duta jenama baharu Next Energy di sini, hari ini.
Mengulas mengenai penyertaannya di laman sendiri pada cabaran larian menara Merdeka 118, beliau menyasarkan untuk memecahkan catatan peribadi dengan catatan di bawah 15 minit 20 saat.
Sasaran itu dilihat realistik bagi menamatkan cabaran setinggi 118 tingkat melibatkan 2,845 anak tangga, sekali gus memperbaharui rekod terbaik peribadinya sebelum ini iaitu 15 minit 37 saat.
Dalam perkembangan lain, Soe Wai Ching menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan agar sukan larian menara dipertandingkan pada Sukan SEA di masa akan datang.
Menurutnya, meskipun acara itu tidak dipertandingkan pada Sukan SEA 2027, peluang masih terbuka untuk ia dipekenalkan pada edisi 2029 atau 2031, susulan peningkatan penganjuran kejohanan larian menara di negara di Asia Tenggara.