Skuad takraw negara rancang kem latihan di Thailand

Ahmad Jais Baharun/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 April – Pasukan Sepak takraw negara dalam perancangan untuk kembali mengadakan kem latihan di Thailand sebagai persiapan menjelang Piala Dunia Sepaktakraw ISTAF 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketua jurulatih sahkan perancangan kem akan dimuktamadkan selepas perbincangan bersama pihak pengurusan dan presiden.
  • Pengalaman di Ratchaburi beri impak positif; pendekatan sama mungkin diteruskan dengan pertukaran lokasi termasuk Royal Thai Navy.
  • Kem dirancang kira-kira dua minggu sebelum kejohanan, memberi fokus pada taktikal, keserasian pemain dan pendedahan antarabangsa.

Ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun menyatakan perkara berkenaan masih dalam perancangan dan akan dimuktamadkan selepas perbincangan bersama pihak pengurusan tertinggi.

Pengalaman menjalani kem latihan di Ratchaburi sebelum ini memberikan impak positif kepada pasukan, justeru pendekatan sama berkemungkinan diteruskan dengan sedikit penyesuaian lokasi.

“Kita akan mengadakan perbincangan bersama presiden mengenai perancangan pasukan sebelum ke Piala Dunia Sepaktakraw ISTAF 2026.

“Kita juga bercadang untuk ke Thailand, namun destinasi mungkin akan ditukar daripada Ratchaburi kepada lokasi lain. Ketika ini, kita sedang membuat persiapan akhir sebelum turun bertanding di Piala Dunia nanti, insya-Allah,” katanya

Beliau berkata demikian selepas majlis undian Piala Dunia Sepaktakraw ISTAF 2026 di Akademi Sepaktakraw Malaysia pada Rabu.

Antara lokasi yang sedang dipertimbangkan ialah kem latihan di Royal Thai Navy yang dijangka menawarkan fasiliti dan persekitaran kompetitif buat pemain negara.

Kem latihan itu dirancang berlangsung kira-kira dua minggu sebelum bermulanya saingan Piala Dunia bagi memastikan pemain berada pada tahap terbaik.

Fasa persiapan akhir kini menjadi fokus utama pasukan dalam usaha memperkemaskan aspek taktikal dan keserasian antara pemain.

Pendedahan berlatih di luar negara penting bagi membiasakan pemain dengan tekanan serta intensiti sebenar pertandingan antarabangsa.

Piala Dunia ISTAF bakal berlangsung di stadium Titiwangsa dari 16 Mei hingga 23 Mei depan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.